Tuesday 4 November 2014

Strategi daripada peniaga kecil kepada jutawan...




Perniagaan merupakan satu peluang dan ruang yang benar-benar boleh memberikan pulangan lumayan khsusus bagi mereka yang serius dalam menjalankan bisnes yang diceburi. Tidak kiralah berniaga apapun, yang penting prospek perniagaan sememangnya salah satu cabang untuk seseorang itu bergelar jutawan. Fakta sendiri telah membuktikan bahawa majoriti jutawan adalah lahir daripada golongan para peniaga. Contohnya, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari merupakan antara jutawan Melayu terkemuka di Malaysia yang juga merupakan seorang ahli perniagaan dan usahawan. Begitu juga dengan pelakon Ezany Nizariff yang memiliki kilang kicap dan belacan berkat usaha gigihnya dalam perniagaan lantas berjaya meraih pulangan yang lumayan. Menariknya, hanya dengan belacan sahaja sudah mampu untuk mengangkat seseorang itu menjadi jutawan!! Hatta peniaga kecil yang menjalankan perniagaan mengikut startegi yang betul juga sebenarnya mampu untuk bergelar jutawan pada masa akan datang. Beberapa strategi dan panduan telah digariskan untuk memandu para peniaga kecil terus giat berusaha bagi memastikan perniagaan berkembang maju dan mampu untuk bergelar jutawan yang Berjaya satu masa nanti.
Mesti Pandai MENCURI!!

Haa!! Untuk menjadi seorang yang berjaya dalam lapangan perniagaan, pihak tersebut mestilah pandai mencuri. Jangan terkejut!! Mencuri yang dimaksudkan ini bukanlah bererti perlu melakukan jenayah, tetapi mencuri yang dimaksudkan adalah bijak mengambil peluang yang ada dalam dunia perniagaan yang mana peluang-peluang tersebut dapat membantu untuk meningkatkan lagi kejayaan perniagaan tersebut. Peniaga yang bijak akan memerhatikan keperluan semasa masyarakat sekeliling. Contohnya, sekiranya di suatu kawasan penempatan tersebut tidak ada menyediakan perkhidmatan dobi, maka peniaga yang bijak akan menggunakan peluang tersebut dengan membuka sebuah kedai dobi dan mungkin boleh bermula secara kecil-kecilan. Inilah yang dikatakan pandai mencuri peluang dalam perniagaan. Melihat kelemahan sebagai satu peluang. Bijak mengambil dan menggunakan peluang yang ada sebenarnya satu langkah permulaan untuk seseorang individu menempa kejayaan yang lebih besar. Ini kerana, tidak semua orang akan melihat peluang itu sebagai satu peluang. Mungkin ada yang melihat peluang itu sebagai satu kekurangan dan kelemahan berbeza dengan mereka yang berfikiran kreatif dan inovatif.
Berpandukan kepada situasi semasa lapangan perniagaan di Malaysia, masih banyak lagi ruang yang ada untuk seseorang usahawan kecil melebarkan sayap perniagaannya. Terutama pihak kerajaan pada masa ini begitu membuka peluang kepada para usahawan kecil untuk memajukan lagi perniagaan dengan pihak kerajaan siap sedia menghulurkan bantuan perniagaan khususnya dalam bentuk pinjaman kewangan. Sayangnya, ramai juga dalam kalangan peniaga masa kini tidak mengetahui skim-skim bantuan kewangan yang dihulurkan oleh pihak kerajaan yang dapat membantu menaikkan lagi perniagaan mereka.
Antara agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam membantu para usahawan dan peniaga kecil adalah seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Perbadanan Nasional Berhad (PNB), dan banyak lagi. Kesemua ini merupakan peluang yang disediakan pihak kerajaan semata-mata untuk menarik minat masyarakat supaya menceburkan diri dalam bidang perniagaan seterusnya mengembangkan lagi perniagaan iaitu bagi mereka yang telahpun memiliki perniagaan sendiri. Terpulanglah kepada kita sama ada untuk ‘mencuri’ peluang yang terhidang ini atau tidak.
Motivasi yang Tinggi

Kegagalan merupakan satu lumrah yang biasanya akan dihadapi oleh para peniaga. Tetapi tidak bermakna kegagalan tersebut akan membuatkan kita terus gagal dan tidak boleh mengecapi kejayaan selepas itu. Malah kegagalan dalam perniagaan sekiranya dipandang dari sudut yang positif dapat dijadikan sebagai satu motivasi pembakar semangat untuk meneruskan usaha membangunkan semula perniagaan yang telah mengalami kegagalan. Motivasi yang tinggi merupakan satu resepi bagi setiap jutawan. Anda tanyalah kepada mana-mana jutawan sekalipun, mereka pasti akan menjawab bahawa jika ingin berjaya, semangat dan daya usaha mestilah seiring dan jangan sekali-kali berputus asa. Peniaga kecil khususnya yang cepat tewas dengan ujian dan kegagalan yang melanda perniagaan mereka akan menyebabkan mereka terus gagal!! Berbeza dengan mereka yang mempunyai kecekalan dan mentaliti yang kuat, kegagalan yang menimpa diibaratkan sebagai satu cabaran untuk mereka terus berusaha dan berjaya.
Setiap peniaga harus mengetahui bahawa tiada jalan pintas untuk memperoleh kejayaan dan kekayaan. Mendiang Tan Sri Lim Goh Tong pernah berpesan dengan mengatakan “..jangan fikir negatif dalam perniagaan, lakukan secara berperingkat walaupun perlahan-lahan asalkan ia tindakan tepat..” Peniaga harus tekun, sabar dan gigih dalam menjalankan perniagaan. Kesabaran merupakan satu aspek yang sangat penting. Berusahalah dengan sebaik-baiknya. Biarpun perniagaan yang dijalankan bermula dengan kecil-kecilan dan perlahan tetapi sekiranya diusahakan dengan bersungguh-sungguh, akan dapat membuahkan hasil yang mengagumkan. Rasulullah S.A.W juga telah menunjukkan satu contoh yang cukup baik dalam berniaga. Baginda begitu menekankan faktor kejujuran dan kesabaran dalam berniaga. Hasilnya, kepercayaan dan keyakinan pelanggan terhadap Baginda S.A.W bertambah. Begitu juga dengan kita pada hari ini, sekiranya kita amalkan nilai-nilai murni dalam perniagaan pastinya perusahaan yang kita jalankan akan mendapat perhatian dan menarik lebih ramai pelanggan. Impaknya, perniagaan menjadi bertambah maju dan berjaya. Ingat!! Sikap anda dalam menguruskan perniagaan akan memberi kesan kepada perniagaan anda sendiri.
Lain Daripada Yang Lain

Ya, lain daripada yang lain. Kadang-kadang apabila kita membuat sesuatu perkara yang pelik, kita akan mendapat perhatian yang lebih berbanding kita membuat perkara-perkara yang biasa. Contoh, apabila kita memakai baju secara terbalik dan kemudian kita berjalan di pasar raya, pasti kita akan menjadi perhatian masyarakat sekeliling. Memanglah memalukan dan kelakar tetapi inilah yang dikatakan lain daripada yang lain. Konsep ini sangat berkesan apabila diaplikasikan dalam perniagaan. Kita menjual minuman ABC sama seperti peniaga yang lain, akan tetapi ABC yang kita jual mengandungi aiskrim. Maka tidak mustahil sekiranya ABC yang kita jual lebih mendapat perhatian pelanggan. Walaubagaimanapun, untuk menjadi lain daripada yang lain, seseorang itu mestilah berfikiran kreatif dan kritis. Ini kerana, kita mesti memikirkan suatu cara yang boleh memberi kelainan terhadap perniagaan kita sama ada kelainan terhadap produk yang kita jual atau kelainan dari segi cara kita memasarkan produk yang sedia ada. Aspek kelainan ini merupakan satu langkah yang dapat menarik lebih ramai pelanggan sekaligus membuatkan pernigaan menjadi lebih terkenal. Siapa sangka dari sekecil-kecil perniagaan boleh berkembang pesat sehingga melayakkan kita untuk bergelar jutawan melalui perusahaan yang dijalankan.
Contoh, kita boleh melihat usaha yang dijalankan oleh kumpulan adik beradik yang begitu terkenal dalam bidang nyanyian dan perfileman iaitu KRU. KRU adalah antara sutradara yang begitu gemar untuk menghasilkan sesuatu yang lain daripada yang lain. Lihat sahaja filem-filem yang dihasilkan. Kebanyakkannya mempunyai kelainan yang tersendiri. Bermula dengan Cicakman iaitu merupakan filem tempatan terawal yang dihasilkan menggunakan sepenuhnya teknik Kesan Khas (CGI) sehingga berjaya meraih kutipan kasar sebanyak RM5.15 juta pada tahun 2006!! Terbukti, aspek lain daripada lain iaitu penggunaan teknik CGI oleh KRU untuk menghasilkan Cicakman membuahkan hasil yang begitu memukau. Oleh itu, setiap para peniaga kecil perlu menanamkan keazaman yang tinggi dan terus berfikiran kehadapan untuk menghasilkan sesuatu produk yang lebih menarik.
Persaingan Sihat

Dalam sesuatu perniagaan, kecil mahupun yang besar, persaingan sememangnya selalu wujud dan berlaku. Persaingan dilihat sebagai sesuatu yang bagus untuk perniagaan tetapi adakalanya persaingan boleh juga memberi kesan buruk kepada perniagaan. Persaingan yang tidak dapat ditangani dengan baik terutama oleh para peniaga kecil akan membuatkan mereka berasa sukar untuk meneruskan perusahaan yang dijalankan. Berapa ramai dalam kalangan peniaga kecil pada hari ini yang gagal berhadapan dengan persaingan dalam perniagaan? Ada dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini yang bersikap iri hati sekaligus berlaku khianat kepada peniaga lain hanya kerana mencemburui kejayaan yang dimiliki oleh peniaga tersebut. Sikap dengki seperti menghasut, menabur fitnah kepada peniaga lain adalah antara sikap yang boleh menjadikan persaingan tidak sihat. Pergaduhan juga boleh berlaku.
Oleh itu, bagi para peniaga kecil, persaingan sebegini adalah perkara biasa dalam dunia perniagaan dan terpulang kepada anda bagaimana untuk menanganinya. Sekiranya anda memandang persaingan dengan para peniaga lain sebagai sesuatu yang sihat, maka sudah pasti anda juga akan turut berlumba-lumba dengan yang lain untuk meningkatkan kualiti produk yang dipasarkan.
Sekali lagi saya ingin memetik kata-kata Tan Sri Lim Goh Tong yang menyatakan “..elakkan diri daripada bersikap tikam belakang dan jangan mencari musuh. Jangan sesekali membuat helah kerana tidak ada jalan pintas untuk berjaya, kerja keras dan selalu berminat dengan apa yang dikerjakan..” Ini bermaksud dalam perniagaan, kita perlu berlumba dengan para peniaga yang lain melalui cara yang baik. Ingat, sebagai peniaga yang mempunyai wawasan, elakkan daripada mencari musuh sebaliknya carilah seramai mungkin sahabat dalam perniagaan kerana dalam perniagaan kita tidak akan selalu berada diatas, adakalanya kita mungkin akan mengalami kerugian. Seperkara lagi, persaingan sihat juga merangkumi kejujuran dalam perniagaan. Tidak perlu sama sekali untuk kita menipu semata-mata bagi mendapatkan keuntungan berganda kerana penipuan hanya akan mendatangkan masalah dan kerugian kelak. Islam juga melarang sama sekali menipu dalam berniaga seperti menipu dalam sukatan dan timbangan, menjual barang-barang yang rosak, menyorokkan barang-barang keperluan harian semasa bekalan barangan tersebut kekurangan dan menjualnya dengan harga yang tinggi serta bermacam lagi. Apa yang penting, rezeki yang diperoleh melalui cara yang tidak baik adalah rezeki yang tidak mendapat keberkatan dari sisi Islam.
Banyak lagi sebenarnya cara-cara dan teknik yang boleh dilakukan oleh peniaga-peniaga kecil untuk memastikan perniagaan menjadi lebih berjaya. Walaubagaimanapun, percayalah anda mampu untuk bergelar jutawan sekiranya keempat-empat elemen diatas diamalkan dengan baik. Teruskan berusaha kerana perniagaan merupakan satu perintis untuk seseorang itu menjadi jutawan. Meskipun bermula dengan kecil-kecilan, tetapi berkat ketekunan dan kesabaran pastinya akan membuahkan hasil yang membanggakan. Islam sendiri telah menegaskan bahawa perniagaan merupakan 9/10 daripada pintu rezeki. Fakta ini ternyata relevan apabila begitu ramai jutawan yang lahir didunia hari ini dengan bersandarkan kepada bisnes yang dijalankan. Mungkin perniagaan yang anda usahakan pada hari ini hanya mampu meraih pulangan dalam kadar yang kecil, tetapi siapa tahu sekiranya anda terus dan terus berusaha meningkatkan mutu perniagaan anda, tidak mustahil untuk anda turut berada dalam kelompok jutawan yang disegani pada satu hari nanti. Semoga berjaya!!



Rahsia bisnes orang cina...



Masyarakat Cina sememangnya begitu terkenal dengan kehebatan mereka dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Bukan hanya masyarakat Cina di negara kita, malah boleh dikatakan hampir di seluruh dunia kita dapat melihat masyarakat Cina memonopoli bidang perniagaan. Produk-produk yang terdapat di pasaran hari ini juga kebanyakkannya datang dari negara Tembok Besar itu termasuklah barang-barang keperluan rumah, tekstil dan pakaian, serta peralatan-peralatan IT terkini. Mereka juga mampu untuk menjadikan sesuatu perniagaan yang bermula hanya dengan kecil-kecilan menjadi lebih maju dan luas. Pendek kata, keistimewaan kaum Cina ini adalah daripada aspek strategi mereka menjalankan perniagaan tersebut. Hal ini turut menjadikan kaum Cina dipandang begitu tinggi kerana mereka mempunyai kemahiran yang tersendiri dalam menjalankan sesuatu perniagaan yang mereka ceburi.
Apabila dikaji secara mendalam, apa yang dapat dirumuskan adalah kemahiran dalam perniagaan atau bisnes bukanlah suatu keistimewaan yang hanya boleh didapati bagi sesuatu kaum. Tetapi kemahiran tersebut sememangnya boleh dipelajari.


Pegangan Masyarakat Cina dalam Perniagaan
Masyarakat Cina mempunyai pegangan yang tersendiri dalam usaha memajukan perniagaan mereka. Pegangan mereka ini begitu kuat sehingga mereka akan cuba melaksanakan segala apa yang termampu untuk mendapatkan hasil yang lebih baik dalam bisnes yang dijalankan. Berikut merupakan tujuh pegangan masyarakat Cina dalam aspek bisnes atau perniagaan :
1.    Rajin, jika tidak berniaga akan menjadi malas
2.    Jimat, jika tidak akan membazir modal
3.    Senyuman dengan pelanggan, jika tidak pelanggan akan lari
4.    Kejar masa, jika tidak peluang akan diambil orang
5.    Harga berpatutan, sekiranya tidak mungkin akan menimbulkan pergaduhan
6.    Membenarkan hutang hanya dengan orang yang dikenali, jika tidak modal akan hilang
7.    Semak akaun setiap hari untuk pastikan modal bagi hari esokKetujuh-tujuh ini juga merupakan peribahasa masyarakat Cina tentang perniagaan dan bisnes. Sekiranya kita meneliti ketujuh-tujuh aspek ini, dapat disimpulkan bahawa sikap menjadi kunci utama kejayaan mereka dalam perniagaan. Sikap yang baik, tekun dan gigih merupakan asas kepada rahsia kejayaan mereka selama ini.

Perniagaan Adalah Satu Seni
Apa yang lebih menarik lagi, masyarakat Cina turut menganggap bisnes merupakan satu seni. Memetik satu falsafah masyarakat Cina yang berbunyi, ‘dunia perniagaan penuh dengan sepak terajangnya. Oleh itu peniaga perlu mempersiapkan dirinya dengan seni kungfu perniagaan bagi menghadapi sebarang bentuk serangan dan kemungkinan mendatang.’ Falsafah ini begitu popular dalam kalangan mereka. Mereka turut menyamakan perniagaan atau bisnes dengan seni kungfu yang digunakan untuk mempertahankan diri. Mengapa? Dunia bisnes memerlukan kita untuk bersedia bagi menghadapi segala rintangan dan masalah yang tidak dijangka. Begitu juga dengan seni kungfu. Mempelajari seni kungfu adalah bertujuan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi sebarang bentuk ancaman yang mendatang. Maka, daripada sinilah timbulnya istilah seni bisnes atau seni perniagaan bagi masyarakat Cina. Terdapat beberapa tip penting yang membahaskan tentang seni perniagaan masyarakat Cina, anataranya ialah :
§  Seni berniaga adalah cukup halus dan tidak memadai mempelajarimya secara teori sahaja. Berniaga perlu praktikal dan menuntut seseorang supaya selalu bersikap fleksibel.
§  Peniaga perlu bersikap ringan tulang, ramah serta menjadikan pelanggan sebagai saudara rapat atau sebagai seorang sahabat.
§  Seseorang peniaga perlu mempunyai daya ketahanan yang tinggi, mental yang kuat dan jiwa yang teguh dengan pendirian.

Untuk menjadi seseorang yang berjaya dalam perniagaan dan bisnes, mereka selalunya tidak kedekut untuk mengeluarkan perbelanjaan asalkan dapat menarik dan meyakinkan hati pelanggan. Bagi mereka, pelanggan yang akan membantu mereka untuk mengembangkan lagi perniagaan yang sedang diusahakan. Antara petua yang mereka selalu amalkan dalam perniagaan adalah ‘menjadi peniaga yang mudah dipercayai, mudah berurusan dan tidak cerewet.’ Disebabkan petua ini juga, mereka begitu gigih dan bersungguh-sungguh untuk menarik hati pelanggan dan menjaga pelanggan yang sedia ada dengan sebaik-baiknya. Bagi mereka juga, dalam perniagaan perlu ada nilai-nilai kemanusiaan, elemen kebajikan dan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan peniaga adalah diibaratkan seperti hamba yang berkhidmat kepada tuannya.
Selain itu, masyarakat Cina turut menekankan beberapa ciri-ciri seorang peniaga yang perlu ada dalam diri mereka. Bisnes atau perniagaan tidak akan menjadi satu seni sekiranya ciri-ciri ini tidak ada dalam diri mereka. Antara ciri-ciri tersebut adalah :
§  Sabar
§  Tidak mudah putus asa
§  Pandai merebut peluang
§  Mempunyai perhubungan awam yang baik
§  Berpandangan jauh
§  Berpegang pada janji
§  Berupaya meyakinkan pelanggan semasa menguruskan perniagaan
§  Memiliki daya tahan dan semangat juang yang tinggi
§  Tidak suka menunggu kerana peluang tidak pernah menunggu mereka

Ciri-ciri ini perlu ada dalam diri setiap peniaga yang ingin memastikan perniagaan mereka dapat berkembang maju. Apa yang disenaraikan ini juga adalah merupakan satu jalan yang boleh diguna pakai dalam strategi seseorang peniaga untuk menarik lebih banyak kepercayaan dan keyakinan para pelanggan terhadap bisnes yang dijalankan. Apabila pelanggan semakin ramai, maka sudah tentu untung yang lebih besar juga turut menanti.



Konsep Berniaga yang Diamalkan oleh Kaum Cina
Kaum Cina mensasarkan matlamat dan tujuan tertentu dalam perniagaan mereka. Bagi memastikan matlamat mereka tercapai, mereka akan saling bantu-mambantu antara satu sama lain khususnya sesama masyarakat Cina. Konsep perniagaan orang Cina adalah berasaskan prinsip simbiosis iaitu mereka sebagai peniaga saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Contoh, sekiranya ada peniaga Cina yang menjual barangan runcit, maka peniaga Cina yang lain akan menjual barangan basah seperti ikan, daging dan ayam serta barangan keperluan yang lain. Mereka turut bijak mengambil peluang dengan membuka restoran di kawasan tersebut dan akan mendapatkan barang-barang keperluan untuk memasak daripada kedai-kedai yang telah sedia ada di sekitar kawasan tersebut. Secara tidak langsung, peluang yang mereka ambil ini akan menjadikan perniagaan di kawasan tersebut berkembang kerana adanya sokongan yang kuat dalam kalangan peniaga di kawasan tersebut. Apabila hal ini terjadi, perniagaan masing-masing akan lebih mudah berkembang dan tidak mudah untuk gulung tikar.
Terdapat satu fakta menarik tentang konsep perniagaan orang Cina yang perlu kita ketahui. Suku Hailam merupakan suku terakhir yang masuk ke Tanah Melayu satu ketika dahulu. Apabila mereka sampai, mereka melihat banyak bidang perniagaan yang sudah diterokai oleh suku-suku Cina yang datang lebih awal. Maka mereka menceburkan diri dengan mengambil peluang membuka kedai kopi yang mana ketika itu belum diterokai secara meluas oleh suku-suku Cina yang lain. Mereka turut mempelbagaikan menu mereka dengan memperkenalkan roti bakar dan nasi ayam Hainan. Akhirnya, perniagaan ini kekal sehingga ke hari ini dan semakin meluas dari hari ke hari.
Dalam satu kajian terhadap sebuah buku yang bertajuk Rahsia Bisnes Orang Cina hasil karya Ann Wan Seng ada menyatakan bahawa masyarakat Cina tidak memandang rendah kepada mana-mana orang yang gagal dalam perniagaan dan mereka memandang tinggi kepada sesiapa yang hendak berusaha dan selalu memberi galakan serta peluang kepada sesiapa yang mahu melibatkan diri dalam perniagaan. Ini membuktikan, bahawa mereka langsung tidak mengenal erti putus asa dan erti kegagalan dalam bisnes yang dijalankan sebaliknya hanya memandang kehadapan tanpa menoleh lagi kebelakang. Maka tidak hairanlah pada hari ini kita dapat melihat lapangan perniagaan di negara kita majoriti besar dikuasai oleh masyarakat Cina.



Tokoh Usahawan Cina di Malaysia
1.0 Robert Kuok
Di negara kita, terdapat ramai tokoh-tokoh bisnes yang majoritinya terdiri daripada masyarakat Cina. Jumlah mereka mungkin boleh mencecah sehingga ratusan atau ribuan orang. Antara tokoh bisnes daripada kaum Cina yang terkenal di Malaysia ialah Robert Kuok merupakan seorang tokoh peniaga daripada masyarakat Cina yang lahir di Johor Bahru pada 6 Oktober 1923 dan memiliki anak seramai 8 orang. Beliau juga merupakan antara jutawan yang memiliki aset berbilion ringgit hasil daripada usaha gigihnya membangunkan perusahaan gula di Malaysia. Beliau juga turut diberi gelaran ‘Raja Gula Asia’. Beliau sangat bijak mengambil peluang kerana mampu menjana keuntungan yang besar hanya dengan menghasilkan pengeluaran gula untuk negara.
Selain itu, beliau turut menjawat jawatan sebagai Pengerusi Shangri-La Hotel dan Resort Chain. Apa yang dapat disimpulkan, beliau tidak mengecapi kejayaan seperti yang beliau miliki pada hari ini dengan mudah. Banyak pengorbanan dan modal yang perlu dikeluarkan untuk beliau membangunkan perusahaan gula sehingga boleh bertahan sampai ke hari ini. Nama beliau juga turut tersenarai antara individu terkaya di rantau Asia.


2.0 Mendiang Lim Goh Tong
Mendiang Lim Goh Tong yang merupakan seorang usahawan Tionghua terkaya di Malaysia dan Asia pada tahun 2005 sehingga beliau meniggal dunia. Beliau memiliki aset berjumlah sehingga 421.60 bilion ringgit Malaysia. Beliau juga merupakan Pengasas dan Prseiden seumur hidup kumpulan Genting. Selain memiliki hotel, beliau turut mempunyai kasino yang dikunjungi 14 juta orang dalam setahun serta memiliki aset-aset mewah yang lain. Dalam satu catatan sejarah menyatakan bahawa beliau datang ke Malaysia dari Fujian China ketika berumur 19 tahun dan hanya membawa wang berjumlah RM175 sebelum berkerja dan membina syarikat sendiri iaitu Kien Huat.
Usaha gigih beliau dan idea yang kreatif telah membuatkan beliau berhasrat untuk mendirikan Genting sebagai sebuah tempat perlancongan di Malaysia. Hasilnya, Genting Highlands masih menjadi tumpuan pelancong dari serata dunia walaupun kini beliau telah pergi selama-lamanya.
Kedua-dua tokoh ini merupakan antara contoh usahawan masyarakat Cina yang berjaya membina empayar perniagaan yang begitu berpengaruh selain membuktikan pada semua bahawa setiap kejayaan yang ingin dikecapi perlu melalui usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa. Sememangnya peniaga-peniaga atau usahawan-usahawan Cina mempunyai taktik dan startegi tersendiri. Namun semua itu dilihat sebagai satu seni dalam perniagaan. Etika masyarakat Cina juga turut membenarkan penggunaan startegi masing-masing asalkan tidak mendatangkan kemudaratan kepada peniaga dan pelanggan. Sebaik-baiknya biarlah strategi tersebut mendatangkan keuntungan kepada kedua-dua belah pihak. Pendek kata, peniaga-peniaga Cina mempunyai daya kreativiti yang tinggi selain bijak mencuri peluang yang ada dihadapan mata. Peluang akan digunakan dengan sebaik-baiknya bagi memastikan keuntungan yang besar boleh dicapai dan kejayaan hanya akan diperoleh sekiranya mereka mempunyai sikap yang rajin, tekun dan tidak mudah mengalah sekiranya menghadapi kegagalan. Maka, wajar bagi msyarakat lain di negara ini untuk mencontohi sikap kaum Cina dalam usaha mereka menjalankan perniagaan.



Mampukah anda menaikkan harga tanpa kehilangan pelanggan...



“Haruskah anda naikkan harga?” Persoalan ini pasti pernah terlintas di fikiran para usahawan. Namun, selepas itu lebih banyak lagi persoalan muncul seperti, “Adakah pelanggan akan disisihkan?” atau “Apakah harga yang memberi kesan negatif terhadap pendapatan penjualan kami?”
Menetapkan harga untuk produk dan perkhidmatan memang tidak mudah. Namun, mengembangkan strategi harga terbaik untuk perniagaan kecil dapat memberi keuntungan yang luar biasa. Jadi, apakah cara untuk menaikkan harga tanpa kehilangan pelanggan atau jualan? Para usahawan berikut memberikan pendapat mereka:
1.Segalanya tentang persamaan nilai
“Nilai yang sesuai dengan persepsi adalah petunjuk harga yang lebih kuat daripada kos atau harga produk yang kompetitif. Jika Anda dapat menunjukkan dengan jelas dan logik nilai produk atau perkhidmatan Anda, secara langsung anda mempengaruhi pendapatan bersih daripada pelanggan Anda. Anda tidak hanya akan menghindari kehilangan pelanggan, tetapi pada masa yang sama Anda juga akan meraih rasa hormat mereka terhadap diri Anda dan bisnis Anda.”
- Peter Kozodoy , CEO GEM Advertising : @ GEMAdvertising
2.Fokus pada pelanggan ideal Anda
“Dalam sebahagian besar perniagaan umum 80% daripada pendapatan yang dihasilkan daripada 20% pelanggan top. Jadi, tujuan menaikkan harga adalah untuk menyingkirkan masalah dari 80% pelanggan Anda yang hanya menghasilkan 20% daripada pendapatan keseluruhan. Strategi Jay Abraham tentang keunggulan menyatakan: jika Anda menaikkan harga, bergantung kepada kualiti perkhidmatan yang sedia ada, Anda mungkin perlu atau tidak perlu melakukan banyak pembaharuan dalam kualiti dalaman perniagaan Anda, tetapi persepsi luaran jenama dan kualiti akan meningkat dengan harga yang Anda tetapkan. Perniagaan tidak bergantung dengan diskaun, tetapi bergantung hidup dengan menaikkan harga. Ini bercanggah dengan intuitif (counter intuitive), tetapi berkesan.”
- Mark A. Lack , Pendiri dan CEO The Peak Performance Klub , LLC . : @ MarkLack777
3.Jadilah transparan tentang perubahan harga
“Teluslah tentang alasan mengapa Anda menaikkan harga; adakah kerana harga bahan asas yang lebih tinggi, kos operasi meningkat, atau keinginan untuk mempertingkatkan khidmat layanan. Jelaskan alasan ini terlebih dahulu kepada para pelanggan yang berpengaruh dan pihak media sehingga mereka memahami dan memberikan sokongan, walaupun nanti orang lain mungkin memberi reaksi negatif. Lakukan ini sebelum Anda naikkan harga dan menjelaskan situasi Anda secara terbuka dan jujur. Jika mereka menyedari bahawa ia merupakan langkah penting untuk terus memberikan kualiti produk dan perkhidmatan terbaik, kemungkinan besar mereka akan tetap menyokong dan menerima model penetapan harga baru.”
- Carolyn Rodz , CEO Mentor Market : @ carolynrodz
4 . Meminta pendapat pelanggan
“Menaikkan harga tanpa kehilangan pelanggan atau klien setia dengan berusaha menghubungi pelanggan kami secara bersemuka. Tanyakan pendapat dan perasaan mereka samada kenaikan harga itu adil atau tidak. Jika mereka tidak setuju bahawa kenaikan harga itu adil, kami bertanya kepada mereka mengapa mereka berasa demikian, dan berapa harga yang dianggap wajar. Kerana kita memiliki kos yang sangat tetap, baik dari segi material dan tenaga kerja, kenaikan harga kami sangat jelas dan hampir semua pelanggan kami setuju layanan tambahan yang kami sediakan adalah sesuai dengan setiap kenaikan harga yang mungkin kami lakukan.”
- Matt Shoup , pemilik dan CEO dari M & E Lukisan : @ MandEpainting
5 . Meningkatkan nilai yang dirasakan sejajar dengan harga
“Tingkatkan nilai persepsi terhadap produk atau perkhidmatan sejajar dengan kenaikan harga. Tujuan dalam penstrukturan harga adalah supaya pelanggan merasakan yang mereka menerima lebih daripada nilai bayaran secara tunai. Hanya kerana Anda meningkatkan nilai persepsi tidak selalu bererti kos pengeluaran harus meningkat. Selain itu, jika kos pengeluaran meningkat sedikit, untung bersih Anda daripada kenaikan harga sepatutnya bertambah.”


Kreativiti dalam perniagaan...



Kreatif dan kritis!! Dua elemen penting yang juga merupakan antara tuntutan utama dalam misi anda untuk memajukan perniagaan. Dalam erti kata lain, anda perlu berfikir dan berusaha dengan lebih keras bagi menjadikan perniagaan anda sesuatu yang lain daripada yang lain demi menarik minat lebih ramai pelanggan. Perniagaan yang mempunyai kreativiti tersendiri kebiasaannya akan lebih cepat dikenali oleh para pengguna tambahan pula sekiranya produk atau servis yang disediakan menepati kehendak pengguna. Akan tetapi, faktor kreativiti tersebut mestilah seiring dengan strategi perniagaan anda agar faktor itu benar-benar dapat memberikan impak kepada perniagaan yang diusahakan. Contoh yang mudah, pada hari ini kita boleh melihat betapa ramai para peniaga di pasar-pasar malam yang menjual air tebu. Mungkin di satu kawasan pasar malam yang sama terdapat dua atau tiga gerai yang menjual air tebu. Maka, persaingan menjadi lebih sengit. Oleh itu, penjual-penjual air tebu tersebut sewajarnya berfikir dengan lebih mendalam tentang cara yang boleh digunakan untuk menarik lebih ramai pelanggan ke gerai masing-masing. Bagaimanakah caranya? Terpulang kepada masing-masing untuk memikirkannya. Banyak aspek-aspek kreativiti yang boleh digunakan dalam perniagaan tanpa mengambil kira jenis perniagaan anda juga sama ada perniagaan anda kecil ataupun besar. Jika kena dengan caranya, kreativiti tersebut mampu menaikkan jenama perusahaan anda!!
Melihat Kelemahan dan Kekurangan Sebagai Satu Peluang Keemasan!!
Setiap perniagaan kebiasaannya mempunyai kelemahan atau kekurangan yang tersendiri. Kekurangan tersebut tidak seharusnya dipandang sebagai satu kelemahan oleh para peniaga. Jadi, bagaimana caranya untuk melihat kelompangan yang ada dalam sesebuah perniagaan sebagai suatu kelebihan? Mudah sahaja bak kata seorang tokoh perniagaan internet yang terkemuka iaitu Irfan Khairi menyatakan bahawa usahawan atau mana-mana para peniaga mestilah sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran. Tujuannya adalah untuk memastikan adanya percambahan idea dalam kalangan para peniaga mahupun usahawan-usahawan bagi menguruskan sesebuah perniagaan sekaligus dapat menjadikan perniagaan tersebut lebih menarik. Untuk itu, bagi para peniaga yang benar-benar berfikiran kreatif dan kritis, mereka akan cenderung untuk melihat segala kekurangan atau kelemahan dalam perniagaan sebagai satu peluang keemasan untuk mereka meningkatkan mutu serta kualiti perniagaan.
Contoh yang sangat mudah, pernahkah anda mendengar tentang Kentucky Fried Chicken atau lebih popular sebagai KFC? Agak pelik sekiranya anda mengatakan tidak!! KFC adalah antara restoran makanan segera yang mempunyai elemen-elemen kreativiti dalam kelas tersendiri. Menyedari bahawa hidangan utama mereka adalah ayam goreng, pihak KFC mengambil inisiatif dengan memperkenalkan pelbagai menu dari semasa ke semasa dan setiap menu tersebut mempunyai daya tarikan yang kuat terhadap pembeli. Ini kerana, pihak KFC sendiri mungkin dapat merasakan bahawa masyarakat akan berasa bosan dengan menu yang sama tanpa sebarang perubahan. Bagi mengelakkan kelemahan tersebut berlaku, strategi berkesan telah diatur dengan baik oleh pihak KFC. KFC Tom Yum, ‘Famous Bowl’, ‘KFC Egg Tart’, ‘Toasted Pocketful’, ‘Krushers’, dan banyak lagi menu-menu baru yang telah diperkenalkan oleh KFC. Konsep perniagaannya tidak pernah berubah iaitu menyediakan makanan segera kepada masyarakat awam. Akan tetapi, faktor kreativiti pihak pengurusan KFC Malaysia sememangnya wajar dijadikan contoh oleh para peniaga dan usahawan yang lain dengan mereka sentiasa berfikiran kehadapan untuk menyediakan pelbagai resepi-resepi terkini bagi masyarakat berbilang kaum di negara kita.
Selain itu, sebagai seorang usahawan atau peniaga, keberanian untuk mengambil risiko sangat penting. Tetapi janganlah kita membuta tuli mengambil sesuatu risiko tanpa mengkaji faktor dan kesannya terlebih dahulu. Dalam isu melihat kekurangan sebagai satu peluang keemasan, keberanian memainkan peranan yang sangat besar. Kadang-kadang anda mungkin sudah berjaya menemui kekurangan yang ada dan sudah memikirkan cara untuk mengatasinya, tetapi dengan kemampuan yang ada adakah anda begitu berani untuk melaksanakannya? Pastikan langkah penyelesaian yang ingin anda ambil telah anda kaji dengan sedalam-dalamnya. Hidup dalam dunia perniagaan ibarat untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Ada kesan dan risiko yang menanti. Seandainya anda benar-benar yakin dan berusaha dengan segigih-gigihnya, InsyaALLAH anda akan berjaya.
Pelik Tetapi Menarik
Tidakkah anda teringin untuk mempunyai suatu perusahaan yang pelik tetapi menarik? Biar pelik asal menarik jangan pelik dan memang pelik!! Objektifnya tetap sama, untuk menarik seramai mungkin pelanggan atau pengguna terhadap servis yang anda sediakan. Tidak kiralah perniagaan apa sekalipun, semuanya boleh menjadi lebih menarik sekiranya anda ada cara untuk melakukannya. Untuk mendapatkan sesuatu idea yang pelik tetapi menarik, anda sebagai seorang usahawan perlu mencabar pemikiran anda bagi mengumpulkan idea-idea yang terbaik dan sesuai dengan perniagaan yang anda usahakan. Tidak dinafikan, kadang-kadang apabila kita mencuba sesuatu yang baru boleh jadi kita mendapat kritikan dan boleh jadi juga kita mendapat sokongan. Oleh itu, jika anda benar-benar yakin dengan apa yang anda ingin lakukan, ketepikan segala kritikan dan anggaplah kritikan-kritikan tersebut sebagai satu inspirasi untuk anda terus memajukan perniagaan anda.
Kebiasaannya, pada bulan Ramadhan, begitu ramai para peniaga yang mengambil peluang untuk berniaga di bazar-bazar Ramadhan. Pelbagai aneka juadah dijual dan para peniaga berlumba-lumba sesama sendiri untuk menghabiskan jualan produk makanan dan minuman masing-masing. Persaingan juga menjadi semakin sengit. Disinilah faktor pelik tetapi menarik boleh diguna pakai untuk memikat para pelanggan. Contohnya, gerai yang menjual minuman. Terdapat gerai yang menjual sehingga dua puluh lebih jenis minuman. Air tembikai laici, bandung cincau, epal susu, barli susu, koktail, katira, cendol dan bermacam-macam lagi jenis minuman yang dijual. Sudah tentu, gerai minuman tersebut akan menjadi tumpuan para pembeli kerana keunikannya selain terdapat banyak pilihan minuman. Inilah yang dikatakan pelik tetapi menarik!!
Dalam membincangkan isu pelik tetapi menarik, satu kekuatan yang perlu anda pupuk dalam diri anda adalah tahan kepada segala kritikan. Mungkin idea yang ingin anda laksanakan akan dianggap idea gila oleh sesetengah pihak, tetapi belum cuba belum tahu. Lakukan dan buktikan kepada semua bahawa idea anda itu boleh membuahkan hasil yang mengagumkan. Jangan sesekali jatuh kerana kritikan dan jangan sesekali megah kerana pujian. Dunia perniagaan tidak pernah menjanjikan sebarang kejayaan atau kegagalan berpanjangan, bergantung kepada sejauh mana usaha dan pengorbanan yang anda lakukan. Teruskan usaha anda dan beringatlah bahawa kesemua rezeki itu hanya datang daripada ALLAH SWT.
Sentiasa Berfikir Ke Hadapan
Dalam mana-mana ceramah motivasi atau seminar keusahawanan, sentiasa berfikiran ke hadapan merupakan antara aspek yang sering ditekankan oleh para penceramah. Bukan tidak boleh memandang ke belakang, tetapi jadikanlah segala pengalaman lampau sebagai satu pengajaran dan semangat untuk kita terus maju. Berbagai-bagai risiko yang ada dalam perniagaan. Untung dan rugi juga sudah menjadi mainan bagi para peniaga. Sebagai langkah berjaga-jaga, setiap para usahawan ataupun para peniaga kecil mahupun besar perlulah sentiasa berfikiran kehadapan. Anda perlu untuk memikirkan tentang kesan-kesan yang mungkin akan timbul, risiko yang bakal dihadapi, serta jalan penyelesaian sekiranya berlaku sebarang masalah yang dijangka atau tidak dijangka. Jangan terlalu gopoh untuk berangan-angan dalam perniagaan. Para peniaga atau usahawan yang sentiasa berfikir ke hadapan sememangnya mempunyai banyak idea dan perancangan yang hebat. Inilah antara contoh kreativiti dalam perniagaan. Dengan berbekalkan idea-idea yang hebat, mereka begitu kreatif menjalankan perniagaan sekaligus sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Bolehkah anda melakukannya?
Seperkara lagi, usahawan yang berfikiran ke hadapan tidak akan menghadkan fikiran mereka untuk mencari satu sahaja jalan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi. Fikirkanlah lebih daripada satu jalan penyelesaian agar anda mempunyai banyak pilihan idea untuk menamatkan segala permasalahan yang membelenggu perniagaan anda. Apabila anda sudah mempunyai beberapa pilihan penyelesaian, pilihlah jalan yang terbaik yang mampu untuk anda lakukan.
Sekiranya anda seorang peniaga kuih-muih di pasar malam dan anda sering mendapati kuih-muih anda tidak dapat dijual habis maka apa yang anda akan lakukan? Sama ada anda membuang lebihan kuih-muih tersebut atau mengurangkan kuantiti jualan untuk masa akan datang atau anda akan mengurangkan harganya atau sebarang cara yang lain? Hakikatnya terpulanglah kepada anda tetapi pastikan keputusan yang diambil boleh mendatangkan faedah serta keuntungan kepada perniagaan yang diusahakan.
Promosi & Pengiklanan Perniagaan Yang Menarik
Strategi utama untuk melariskan perniagaan adalah melalui promosi dan pengiklanan. Pada hari ini, kita dapat lihat betapa banyak papan-papan iklan, banting, poster, kertas-kertas iklan dan bermacam lagi cara yang digunakan oleh para peniaga untuk menghebahkan perniagaan masing-masing. Tidak dinafikan, promosi dan pengiklanan sememangnya salah satu cara berkesan untuk menarik para pelanggan. Akan tetapi, penghasilan iklan yang lebih kreatif serta menarik sudah tentu mampu memberikan impak yang lebih besar berbanding iklan-iklan biasa yang lain. Cumanya, apabila anda telah menghasilkan suatu iklan yang kreatif dan luar biasa, anda juga perlu memastikan kualiti produk atau perkhidmatan yang anda sediakan setara seperti mana yang telah anda iklankan. Jangan sesekali anda cuba untuk menipu dalam pengiklanan kerana boleh membawa kesan buruk serta menggugat keyakinan para pelanggan terhadap perniagaan anda.
Dalam era IT dan globalisasi ini, bermacam kaedah yang boleh digunakan bagi tujuan pengiklanan. ‘Facebook’, ‘Twitter’, ‘Email’, laman sesawang pengiklanan seperti ‘mudah.my’, ‘e-bay’ dan banyak lagi laman pengiklanan di internet yang boleh anda gunakan untuk mempromosikan bisnes yang anda jalankan bukan hanya di dalam negara malah di seantero dunia. Jika anda benar-benar kreatif dalam mengiklankan perniagaan anda, maka tidak mustahil perniagaan anda mampu berkembang maju dalam sekelip mata.
Zaman sekarang juga telah memperlihatkan begitu ramai individu yang gemar menjalankan bisnes hanya melalui internet sahaja. Misalnya, seseorang individu itu mampu untuk menjual pakaian hanya daripada rumah dan segala bentuk pengiklanan dan promosi dilakukan melalui internet. Penghantaran barangan pula dilakukan melalui pos atau kurier. Apa yang menariknya, keuntungan yang diraih mampu mencecah empat angka!! Ini tidak mustahil sekiranya anda bijak mengiklankan perniagaan anda.

Kesimpulannya, kreativiti dalam perniagaan memainkan peranan yang sangat penting terhadap perniagaan itu sendiri. Banyak lagi cara dan kaedah untuk menjadikan sesuatu perniagaan lebih kreatif dan menarik. Setiap aspek dalam perniagaan perlu diberi penekanan bermula daripada aspek promosi sehingga ke jualan agar perniagaan tersebut benar-benar membuahkan keuntungan. Pakar perniagaan internet, Irfan Khairi dalam tip perniagaannya ada menyatakan bahawa seseorang ahli perniagaan yang ingin menjana idea yang kreatif perlulah sentiasa bergembira dan berseronok kerana idea yang hebat seringkali datang apabila kita berada dalam keadaan gembira dan seronok. Semoga semua para usahawan dan para peniaga yang membaca artikel ini dapat mengambil input-input yang berguna dan mengaplikasikannya dalam perniagaan masing-masing. Ingatlah, rezeki itu datang daripada ALLAH SWT dan kita perlu berusaha untuk mendapatkannya.

7 tips memajukan perniagaan...



Setiap perniagaan yang diusahakan mempunyai harapan yang tinggi, agar perniagaan itu terus maju dan berjaya serta dapat mengubah masa depan agar tidak ditindas pihak lain. Tiada sesiapa yang mengharap perniagaan yang dijalankan musnah dengan wang ringgit yang dikeluarkan. Namun, tidak semua perniagaan yang diusahakan mampu menetapkan jumlah pelanggan di dalam atau di luar negara. Tidak kira sebarang jenis perniagaan yang dijalankan samada melibatkan penjualan produk, servis, nasihat dan sebagainya. Kecekalan dan semangat yang kental sangat diperlukan bagi memastikan cita-cita yang diimpikan tercapai. Perniagaan ini bukan sesuatu yang boleh dicapai dengan mudah. Kerana ia mengambil masa dan memakan tempoh yang agak panjang. Sambutan pelanggan dalam perniagaan yang dijalankan mempunyai beberapa cara untuk dicapai.
Beberapa tips ini perlu diamalkan bagi memastikan perniagaan yang dijalankan menjanjikan pulangan yang lumayan dan memberangsangkan. Perkara pertama yang perlu kita amalkan adalah tips untuk mempelajari tentang keadaan kawasan yang menjadi tempat untuk memulakan perniagaan. Jika kita memulakan perniagaan yang padat dengan penduduk dan menjadi pusat pentadbiran, hasilnya akan positif. Sebaliknya jika kita membuka perniagaan di kawasan kampung yang tiada kemudahan dan sambutan ramai maka, perniagaan kita tidak akan bertahan lama.


Mengkaji tentang suasana dan kedudukan
Kita perlu mengkaji tentang latar dan faktor kedudukan tempat baru itu. Jika ia merupakan kawasan yang didiami pelajar dan pekerja, membuka kedai dobi adalah cadangan yang baik. Kerana golongan seperti ini lebih cenderung untuk menghantar pakaian yang kotor kedai dobi dari dicuci sendiri. Jangan pula di kawasan seperti itu kita mulakan dengan perniagaan besi buruk dan barang kitar semula. Selain itu, kawasan seperti ini juga sesuai dibuka perniagaan makanan dan minuman. Kerana pelajar dan pekerja sentiasa memerlukan tenaga untuk pergi belajar dan pergi bekerja. Katakan juga keinginan untuk memulakan kedai alat tulis dan perkhidmatan potostet di kawasan yang sama. Pendek kata, sesuatu kawasan itu perlu dikaji terlebih dahulu sebelum memulakan perniagaan. Kerana perniagaan ini bukan untuk suka-suka dan main-main, sebaliknya sesuatu yang serius dan berat.


Mencari rakan kongsi yang boleh dipercayai
Tips yang seterusnya adalah mencari rakan kongsi yang boleh dipercayai. Bukan sekadar seorang yang mempunyai wang untuk dilaburkan sahaja. Setidak-tidaknya minat dan hobi pada benda yang sama akan menampakkan lagi usaha yang dijalankan. Kerana manusia tidak akan jemu dan bosan melakukan sesuatu yang menjadi kegemaran mereka. Katakan Yusri dan Lisa mempunyai minat yang sama dalam bidang penerbitan dan periklanan. Jadi, mereka telah bersetuju dan melaburkan sejumlah wang untuk memulakan perniagaan ini di sebuah kawasan yang menjadi tumpuan. Kerana minta dan pendapat dalam bidang yang sama sangat tinggi, perniagaan mereka semakin maju. Kerana masing-masing memberi komitmen yang baik dalam perniagaan ini. Bukan hanya seorang sahaja yang perlu bekerja, sebaliknya kedua-dua belah pihak rakan kongsi ini. Pendek kata, perniagaan mereka maju kerana minat dan hobi dalam bidang yang sama.


Bermula secara kecil-kecilan
Tidak semua perniagaan itu perlu diusahakan secara besar-besaran yang menelan belanja sehingga jutaan ringgit. Sekadar sebagai hobi dan minat untuk memenuhi masa dan boleh dijadikan sebagai pendatan sambilan sudah memadai. Contohnya Pak Abas yang menjalankan perniagaan menjual kerepek di kampungnya. Perniagaan ini adalah perniagaan warisan daripada ayahnya dahulu. Jadi, Pak Abas membantu ayahnya yang telah tua kerana sudah tidak mampu melakukan pekerjaan berat lagi. Semakin lama, minatnya telah mendalam dalam dunia perniagaan dan dia menguruskan sepenuhnya perniagaan ini selepas kematian ayahnya. Pada awal penglibatan dalam dunia penjualan kerepek, arwah ayah Pak Abas berniaga dengan menaiki motorsikal sahaja. Selepas Pak Abas mengambil alih, dia telah membuat pinjaman dengan bank untuk mendirikan sebuah kilang pembuatan kerepak yang terletak di belakang rumahnya. Pendapatanya semakin maju tambahan pula semasa musim perayaan dan juga musim perkahwinan. Kerana Pak Abas telah mendapat pengalaman yang banyak semasa membantu arwah ayahnya dahulu. Kini, Pak Abas telah mendirikan lima buah kilang di daerah dalam negerinya.


Mengupah pekerja yang boleh dipercayai
Setelah mempunyai kedudukan yang baik dalam perniagaan yang diceburi, pasti kita ingin meluaskan perniagaan itu. Katakan perniagaan kedai pakaian lelaki dan wanita. membuka cawangan baru memerlukan lebih ramai perkerja untuk menguruskannya. Maka, kita perlu mengupah orang yang boleh dipercayai untuk memastikan perniagaan yang diusahakan selama ini tidak dirosakkan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan kita. Mungkin kita boleh mengupah jiran yang telah lama kita kenali sebelum memulakan perniagaan itu atau juga mengupah kawan-kawan yang sudah kita maklum dengan hati budi mereka. Jika tidak, perniagaan kita akan musnah berikutan ada pihak yang iri hati dengan kesenangan dan kemewahan yang kita capai. Oleh sebab itu, kita perlu menjalin perhubungan yang baik dan tidak bermusuh dengan semua orang agar kita juga selamat dan perniagaan kita terus maju.



Mempunyai strategi yang berkesan
Selain itu, untuk memastikan sesebuah perniagaan itu berjaya, kita juga perlu mempunyai strategi yang berkesan. Bukan sahaja perniagaan, setiap pekerjaan yang dilakukan juga memerlukan perancangan yang sempurna. Jika tidak impian itu akan musnah di pertengahan jalan. Contohnya memulakan perniagaan dalam bidang ubat-ubatan dan farmasi. Dalam dunia yang serba canggih dan maju ini, kita sering dihantui dan dibayangi dengan pelbagai wabak penyakit yang disebabkan penyalahgunaan bahan kimia industri, wabak penyakit yang disebabkan bahan kimi berlebihan dalam bekalan makanan seperti sayur dan wabak penyakit berjangkit yang mudah disebarkan melalui migrasi manusia atau haiwan. Wabak penyakit berbahaya memang sukar untuk diubati, tetapi kita masih mempunyai peluang untuk mencegahnya. Maka, perniagaan dalam bidang ubat-ubatan dan farmasi sentiasa mendapat sambutan yang baik kerana kita tidak mampu menjangka saat kita akan ditimpa penyakit. Perniagaan ini adalah perniagaan yang mampu memberi keuntungan kepada pengusaha. Masyarakat hari ini juga semakin bijak untuk menentukan ubat yang berkesan bagi penghalang penyakit merebak.


Mendengar dan mengikuti kemahuan pelanggan
Pihak yang akan menentukan jatuh bangun sesebuah perniagaan itu adalah pelanggan dan orang ramai. Maka, hasrat dan kemahuan mereka perlu diambil kira dan tidak boleh dipandang ringan. Jika tidak, pelanggan akan lari dan kita yang akan mengalami kerugian kerana gagal memenuhi kehendak mereka. Sekurang-kurangnya kehendak pelanggan memberikan kita sesuatu yang baru untuk dicuba dalam dunia perniagaan itu. Contoh yang paling rapat dengan masyarakat adalah perniagaan francais iaitu McDonalds, yang berjaya meluaskan perniagaan ke serata dunia. McDonalds di India telah menyediakan menu khas bagi penduduk India dengan menyediakan burger ayam. Mereka telah tampil dengan Chicken Maharaja Mac, kerana meraka tidak boleh memakan daging. Selain itu, di Itali pula, mereka telah menyediakan burger yang disajikan dengan daging khinzir. Di Norway pula, burger telah disajikan dengan kepingan daging ikan salmon yang menjadi kegemaran penduduknya. Manakala di Thailand, ia juga disajikan dengan memasukkan perisa tomyam yang disesuaikan dengan selera pelanggan. Tidak kurang hebat juga dengan McDonalds di Malaysia.



Bersedia untuk memulakan perniagaan yang besar
Perniagaan yang semakin maju menjadi idaman semua usahawan. Tetapi adakah kita sudah bersedia untuk memulakan perniagaan ke peringkat yang seterusnya? Kejayaan kita mampu diukur setelah kita melihat dan merasakan sambutan yang diterima ramai orang. Katakan dulu Iqbal hanya menjual laksa dengan menaiki motorsikal sahaja. Selepas 5 tahun bersusah-payah, dia telah mengumpul wang yang banyak dan membuka sebuah kedai laksa bersama adik lelakinya. Memang cita-cita Iqbal untuk membuka sebuah kedai laksa daripada resipi arwah ibunya. Dia telah bersedia dengan sepenuhnya. Dengan pembukaan kedai baru itu, Iqbal menjadi semakin bersemangat untuk bekerja dan juga untuk merubah masa depannya. Semakin hari, perniagaannya semakin maju. Kerana Iqbal sudah mempunyai pelanggan tetap selama 5 tahun sepanjang dia berniaga menaiki motorsikal roda tiga.
Secara kesimpulannya, tips ini perlu diamalkan agar perniagaan yang kita ceburi itu menampakkan hasil dengan titik peluh yang dikorbankan. Kegagalan dan jatuh bangun dalam perniagaan adalah lumrah dan kita perlu bersedia dengan semua kemungkinan yang bakal tiba. Sekali jatuh bukan bermakna kita akan jatuh selamanya. Jadikan perkara ini sebagai pembakar semangat. Pokok pangkal untuk berjaya dalam bidang perniagaan adalah minat yang mendalam, kegigihan dan juga usaha yang tidak pernah kenal penat lelah. Dalam erti kata yang mudah, setiap usaha yang kita lakukan pasti akan membuahkan hasil apabila tiba masanya nanti. Berusaha dan terus berdoa agar urusan kita dipermudahkan-Nya.



5 strategi perniagaan melalui instagram...




Instagram telah menjadi pujaan media sosial semenjak beberapa tahun lepas. Konsepnya mudah. Aplikasi ini membolehkan sesiapa sahaja menghasilkan foto digital yang menarik. Filter yang disediakan turut membolehkan foto yang biasa-biasa sahaja kelihatan unik dan professional. Orang ramai amat tertarik dengan aplikasi web ini yang mempunyai lebih daripada 100 juta pengguna. Bila sahaja terdapat sebegini ramai orang dalam satu-satu “tempat” sudah pasti ada peluang perniagaan yang menanti.
Dengan Instagram, peluang yang ada bergantung kepada bagaimana usahawan tempatan memanfaatkan aplikasinya.
Faedah-faedah menggunakan Instagram              
Instagram, sebagaimana jaringan sosial dan komuniti lain, merupakan audience yang bersedia menerima isi kandungan yang mantap. Dalam kes Instagram, minat yang menyatukan orang ramai adalah fotografi. Dalam perniagaan, pemasaran adalah tentang menarik perhatian pengguna yang sedia ada untuk mendapatkan pengikut (followers) baru. Ia bertujuan untuk menyedarkan orang ramai akan kewujudan jenama kamu dan membawa mereka dalam kitar jualan.
Ia bermula daripada penemuan, selanjutnya mewujudkan perhubungan, sehinggalah orang ramai mula membeli produk dan perkhidmatan kamu. Dengan berdasarkan kitaran ini, besar kemungkinan syarikat anda mampu memperkembangkan pengikut dalam Instagram.
INI MERUPAKAN LIMA TIPS INSTAGRAM UNTUK PERNIAGAAN TEMPATAN.
1. LIKE FOTO PELANGGAN SASARAN ANDA
Ungkapan lama – Kamu mendapat apa yang kamu beri (You get what you give) – adalah benar dalam banyak perkara dalam hidup. Ia merupakan mantra yang baik terutama sekali bagi perniagaan yang menggunakan media sosial. Satu daripada perkara terbaik yang boleh anda buat adalah dengan “like” foto-foto lain dalam Instagram. Meninggalkan “comment” merupakan satu lagi cara yang baik untuk menambah pengikut anda.
Jangan mengambil jalan pintas. Jika anda tidak melakukannya dengan ikhlas, anda mungkin dianggap sebagai spammer dan ini dengan cepat akan mendatangkan keburukan. Orang ramai pasti suka jika ada orang lain menyedari akan foto-foto mereka. Meninggalkan komen dan like foto-foto mereka membuatkan mereka senang hati. Lakukannya kepada orang yang menepati profil pelanggan anda dan sebahagian dari mereka kemungkinan akan mengikuti (follow) anda juga, yakni membina profail anda.
2. Ambil Gambar Daripada Sudut Yang Unik.
Memang banyak foto dalam Instagram; berbillion-billion. Amat sukar membuatkan foto anda menonjol. Dua aspek utama dalam fotografi adalah pengcahayaan dan sudut. Anda tahu bila terlebih pengcahayaan dalam bingkai dan bila tidak cukup pengcahayaan. Terdapat banyak perkara yang anda boleh buat dengan cahaya, tetapi kaedah cepat untuk membuatkan foto anda berlainan ialah dengan mengambil gambar daripada sudut yang unik.
Ambil gambar daripada kedudukan yang rendah dan ambillah gambar seperti bangunan, dinding dan orang ramai. Foto-foto begini akan menonjol dan mendapat banyak perhatian.
3. Gunakan Kamera Telefon Yang Biasa
Instagram membolehkan anda mengambil foto dalam aplikasi tersebut. Ia bagus untuk tujuan mengambil gambar dan terus memuat naikkannya. Tetapi jika anda mahu lebih kawalan gunakan aplikasi kamera dalam telefon anda. Anda boleh menukar-nukar pengcahayaan, fokus, zoom dan beberapa aspek lain. Terdapat juga fungsi seperti burst untuk mengambil imej sesuatu yang bergerak. Buat masa ini anda mungkin lebih suka mengambil foto dengan aplikasi kamera berbanding dengan fungsi yang terdapat dalam Instagram.
4. Ambil Perhatian Terhadap Latar Belakang
Kadangkala latar belakang foto anda lebih menarik berbanding dengan orang atau objek utama/hadapan. Semasa mengambil gambar ambil perhatian terhadap apa yang berlaku di latar belakang. Anda tidak mahu sekiranya ada sesorang mencuri-curi di belakang untuk photobomb yang boleh menjejaskan foto anda. Atau mungkin juga anda mahu aksi-aksi demikian berlaku. Walau apa pun, asalkan ianya menarik dan dapat memberi kamu atau jenama kamu lebih perhatian.
5. Penggunaan Hashtag Yang Tidak Bersesuaian
Hashtag merupakan perkara penting dalam jaringan sosial. Dengan menggunakan hashtags dalam Instagram anda dapat mencari kumpulan yang mencari foto-foto berkenaan subjek yang spesifik, di kalangan audience yang ada. Gunakan 1 atau 2 hashtag yang boleh menghubungkan kepada perniagaan anda bagi setiap foto. Pilih hashtag yang popular. Carikan keseimbangan di antara kaitan (relevance) dan populariti.
Kesimpulan
Perniagaan tempatan boleh membina pengikut tempatan dalam Instagram. Anda boleh menarik perhatian pengunjung-pengunjung daripada luar kawasan Bandar anda dengan menunjukkan persekitaran menarik berdekatan lokasi anda.
Ambil foto-foto suasana kedai anda. Keluar dan ambil foto tempat-tempat utama di Bandar anda daripada sudut yang menarik. Ini semua adalah cara yang baik untuk membina pengikut Instagram anda, dan akan menggalakkan lebih ramai pelanggan datang berkunjung