Perniagaan merupakan satu peluang dan ruang yang benar-benar boleh
memberikan pulangan lumayan khsusus bagi mereka yang serius dalam menjalankan
bisnes yang diceburi. Tidak kiralah berniaga apapun, yang penting prospek
perniagaan sememangnya salah satu cabang untuk seseorang itu bergelar jutawan.
Fakta sendiri telah membuktikan bahawa majoriti jutawan adalah lahir daripada
golongan para peniaga. Contohnya, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari merupakan
antara jutawan Melayu terkemuka di Malaysia yang juga merupakan seorang ahli
perniagaan dan usahawan. Begitu juga dengan pelakon Ezany Nizariff yang memiliki
kilang kicap dan belacan berkat usaha gigihnya dalam perniagaan lantas berjaya
meraih pulangan yang lumayan. Menariknya, hanya dengan belacan sahaja sudah
mampu untuk mengangkat seseorang itu menjadi jutawan!! Hatta peniaga kecil yang
menjalankan perniagaan mengikut startegi yang betul juga sebenarnya mampu untuk
bergelar jutawan pada masa akan datang. Beberapa strategi dan panduan telah
digariskan untuk memandu para peniaga kecil terus giat berusaha bagi memastikan
perniagaan berkembang maju dan mampu untuk bergelar jutawan yang Berjaya satu
masa nanti.
Mesti Pandai MENCURI!!
Haa!! Untuk menjadi seorang yang berjaya dalam lapangan
perniagaan, pihak tersebut mestilah pandai mencuri. Jangan terkejut!! Mencuri
yang dimaksudkan ini bukanlah bererti perlu melakukan jenayah, tetapi mencuri
yang dimaksudkan adalah bijak mengambil peluang yang ada dalam dunia perniagaan
yang mana peluang-peluang tersebut dapat membantu untuk meningkatkan lagi
kejayaan perniagaan tersebut. Peniaga yang bijak akan memerhatikan keperluan
semasa masyarakat sekeliling. Contohnya, sekiranya di suatu kawasan penempatan
tersebut tidak ada menyediakan perkhidmatan dobi, maka peniaga yang bijak akan
menggunakan peluang tersebut dengan membuka sebuah kedai dobi dan mungkin boleh
bermula secara kecil-kecilan. Inilah yang dikatakan pandai mencuri peluang
dalam perniagaan. Melihat kelemahan sebagai satu peluang. Bijak mengambil dan
menggunakan peluang yang ada sebenarnya satu langkah permulaan untuk seseorang
individu menempa kejayaan yang lebih besar. Ini kerana, tidak semua orang akan
melihat peluang itu sebagai satu peluang. Mungkin ada yang melihat peluang itu
sebagai satu kekurangan dan kelemahan berbeza dengan mereka yang berfikiran
kreatif dan inovatif.
Berpandukan kepada situasi semasa lapangan perniagaan di Malaysia,
masih banyak lagi ruang yang ada untuk seseorang usahawan kecil melebarkan
sayap perniagaannya. Terutama pihak kerajaan pada masa ini begitu membuka
peluang kepada para usahawan kecil untuk memajukan lagi perniagaan dengan pihak
kerajaan siap sedia menghulurkan bantuan perniagaan khususnya dalam bentuk
pinjaman kewangan. Sayangnya, ramai juga dalam kalangan peniaga masa kini tidak
mengetahui skim-skim bantuan kewangan yang dihulurkan oleh pihak kerajaan yang
dapat membantu menaikkan lagi perniagaan mereka.
Antara agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam membantu para
usahawan dan peniaga kecil adalah seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung
Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Perbadanan Nasional Berhad (PNB), dan banyak
lagi. Kesemua ini merupakan peluang yang disediakan pihak kerajaan semata-mata
untuk menarik minat masyarakat supaya menceburkan diri dalam bidang perniagaan
seterusnya mengembangkan lagi perniagaan iaitu bagi mereka yang telahpun
memiliki perniagaan sendiri. Terpulanglah kepada kita sama ada untuk ‘mencuri’
peluang yang terhidang ini atau tidak.
Motivasi yang Tinggi
Kegagalan merupakan satu lumrah yang biasanya akan dihadapi oleh
para peniaga. Tetapi tidak bermakna kegagalan tersebut akan membuatkan kita
terus gagal dan tidak boleh mengecapi kejayaan selepas itu. Malah kegagalan
dalam perniagaan sekiranya dipandang dari sudut yang positif dapat dijadikan
sebagai satu motivasi pembakar semangat untuk meneruskan usaha membangunkan
semula perniagaan yang telah mengalami kegagalan. Motivasi yang tinggi
merupakan satu resepi bagi setiap jutawan. Anda tanyalah kepada mana-mana
jutawan sekalipun, mereka pasti akan menjawab bahawa jika ingin berjaya,
semangat dan daya usaha mestilah seiring dan jangan sekali-kali berputus asa.
Peniaga kecil khususnya yang cepat tewas dengan ujian dan kegagalan yang
melanda perniagaan mereka akan menyebabkan mereka terus gagal!! Berbeza dengan
mereka yang mempunyai kecekalan dan mentaliti yang kuat, kegagalan yang menimpa
diibaratkan sebagai satu cabaran untuk mereka terus berusaha dan berjaya.
Setiap peniaga harus mengetahui bahawa tiada jalan pintas untuk
memperoleh kejayaan dan kekayaan. Mendiang Tan Sri Lim Goh Tong pernah berpesan
dengan mengatakan “..jangan fikir negatif dalam
perniagaan, lakukan secara berperingkat walaupun perlahan-lahan asalkan ia
tindakan tepat..” Peniaga
harus tekun, sabar dan gigih dalam menjalankan perniagaan. Kesabaran merupakan
satu aspek yang sangat penting. Berusahalah dengan sebaik-baiknya. Biarpun
perniagaan yang dijalankan bermula dengan kecil-kecilan dan perlahan tetapi
sekiranya diusahakan dengan bersungguh-sungguh, akan dapat membuahkan hasil
yang mengagumkan. Rasulullah S.A.W juga telah menunjukkan satu contoh yang
cukup baik dalam berniaga. Baginda begitu menekankan faktor kejujuran dan
kesabaran dalam berniaga. Hasilnya, kepercayaan dan keyakinan pelanggan
terhadap Baginda S.A.W bertambah. Begitu juga dengan kita pada hari ini,
sekiranya kita amalkan nilai-nilai murni dalam perniagaan pastinya perusahaan
yang kita jalankan akan mendapat perhatian dan menarik lebih ramai pelanggan.
Impaknya, perniagaan menjadi bertambah maju dan berjaya. Ingat!! Sikap anda
dalam menguruskan perniagaan akan memberi kesan kepada perniagaan anda sendiri.
Lain Daripada Yang Lain
Ya, lain daripada yang lain. Kadang-kadang apabila kita membuat
sesuatu perkara yang pelik, kita akan mendapat perhatian yang lebih berbanding
kita membuat perkara-perkara yang biasa. Contoh, apabila kita memakai baju
secara terbalik dan kemudian kita berjalan di pasar raya, pasti kita akan
menjadi perhatian masyarakat sekeliling. Memanglah memalukan dan kelakar tetapi
inilah yang dikatakan lain daripada yang lain. Konsep ini sangat berkesan
apabila diaplikasikan dalam perniagaan. Kita menjual minuman ABC sama seperti
peniaga yang lain, akan tetapi ABC yang kita jual mengandungi aiskrim. Maka
tidak mustahil sekiranya ABC yang kita jual lebih mendapat perhatian pelanggan.
Walaubagaimanapun, untuk menjadi lain daripada yang lain, seseorang itu
mestilah berfikiran kreatif dan kritis. Ini kerana, kita mesti memikirkan suatu
cara yang boleh memberi kelainan terhadap perniagaan kita sama ada kelainan
terhadap produk yang kita jual atau kelainan dari segi cara kita memasarkan
produk yang sedia ada. Aspek kelainan ini merupakan satu langkah yang dapat
menarik lebih ramai pelanggan sekaligus membuatkan pernigaan menjadi lebih
terkenal. Siapa sangka dari sekecil-kecil perniagaan boleh berkembang pesat
sehingga melayakkan kita untuk bergelar jutawan melalui perusahaan yang
dijalankan.
Contoh, kita boleh melihat usaha yang dijalankan oleh kumpulan
adik beradik yang begitu terkenal dalam bidang nyanyian dan perfileman iaitu
KRU. KRU adalah antara sutradara yang begitu gemar untuk menghasilkan sesuatu
yang lain daripada yang lain. Lihat sahaja filem-filem yang dihasilkan.
Kebanyakkannya mempunyai kelainan yang tersendiri. Bermula dengan Cicakman
iaitu merupakan filem tempatan terawal yang dihasilkan menggunakan sepenuhnya
teknik Kesan Khas (CGI) sehingga berjaya meraih kutipan kasar sebanyak RM5.15
juta pada tahun 2006!! Terbukti, aspek lain daripada lain iaitu penggunaan
teknik CGI oleh KRU untuk menghasilkan Cicakman membuahkan hasil yang begitu
memukau. Oleh itu, setiap para peniaga kecil perlu menanamkan keazaman yang
tinggi dan terus berfikiran kehadapan untuk menghasilkan sesuatu produk yang
lebih menarik.
Persaingan Sihat
Dalam sesuatu perniagaan, kecil mahupun yang besar, persaingan
sememangnya selalu wujud dan berlaku. Persaingan dilihat sebagai sesuatu yang
bagus untuk perniagaan tetapi adakalanya persaingan boleh juga memberi kesan
buruk kepada perniagaan. Persaingan yang tidak dapat ditangani dengan baik
terutama oleh para peniaga kecil akan membuatkan mereka berasa sukar untuk
meneruskan perusahaan yang dijalankan. Berapa ramai dalam kalangan peniaga
kecil pada hari ini yang gagal berhadapan dengan persaingan dalam perniagaan?
Ada dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini yang bersikap iri hati
sekaligus berlaku khianat kepada peniaga lain hanya kerana mencemburui kejayaan
yang dimiliki oleh peniaga tersebut. Sikap dengki seperti menghasut, menabur
fitnah kepada peniaga lain adalah antara sikap yang boleh menjadikan persaingan
tidak sihat. Pergaduhan juga boleh berlaku.
Oleh itu, bagi para peniaga kecil, persaingan sebegini adalah
perkara biasa dalam dunia perniagaan dan terpulang kepada anda bagaimana untuk
menanganinya. Sekiranya anda memandang persaingan dengan para peniaga lain
sebagai sesuatu yang sihat, maka sudah pasti anda juga akan turut
berlumba-lumba dengan yang lain untuk meningkatkan kualiti produk yang
dipasarkan.
Sekali lagi saya ingin memetik kata-kata Tan Sri Lim Goh Tong yang
menyatakan “..elakkan diri daripada bersikap
tikam belakang dan jangan mencari musuh. Jangan sesekali membuat helah kerana
tidak ada jalan pintas untuk berjaya, kerja keras dan selalu berminat dengan
apa yang dikerjakan..” Ini
bermaksud dalam perniagaan, kita perlu berlumba dengan para peniaga yang lain
melalui cara yang baik. Ingat, sebagai peniaga yang mempunyai wawasan, elakkan
daripada mencari musuh sebaliknya carilah seramai mungkin sahabat dalam
perniagaan kerana dalam perniagaan kita tidak akan selalu berada diatas, adakalanya
kita mungkin akan mengalami kerugian. Seperkara lagi, persaingan sihat juga
merangkumi kejujuran dalam perniagaan. Tidak perlu sama sekali untuk kita
menipu semata-mata bagi mendapatkan keuntungan berganda kerana penipuan hanya
akan mendatangkan masalah dan kerugian kelak. Islam juga melarang sama sekali
menipu dalam berniaga seperti menipu dalam sukatan dan timbangan, menjual
barang-barang yang rosak, menyorokkan barang-barang keperluan harian semasa
bekalan barangan tersebut kekurangan dan menjualnya dengan harga yang tinggi
serta bermacam lagi. Apa yang penting, rezeki yang diperoleh melalui cara yang
tidak baik adalah rezeki yang tidak mendapat keberkatan dari sisi Islam.
Banyak lagi sebenarnya cara-cara dan teknik yang boleh dilakukan
oleh peniaga-peniaga kecil untuk memastikan perniagaan menjadi lebih berjaya.
Walaubagaimanapun, percayalah anda mampu untuk bergelar jutawan sekiranya
keempat-empat elemen diatas diamalkan dengan baik. Teruskan berusaha kerana
perniagaan merupakan satu perintis untuk seseorang itu menjadi jutawan.
Meskipun bermula dengan kecil-kecilan, tetapi berkat ketekunan dan kesabaran
pastinya akan membuahkan hasil yang membanggakan. Islam sendiri telah
menegaskan bahawa perniagaan merupakan 9/10 daripada pintu rezeki. Fakta ini
ternyata relevan apabila begitu ramai jutawan yang lahir didunia hari ini
dengan bersandarkan kepada bisnes yang dijalankan. Mungkin perniagaan yang anda
usahakan pada hari ini hanya mampu meraih pulangan dalam kadar yang kecil,
tetapi siapa tahu sekiranya anda terus dan terus berusaha meningkatkan mutu
perniagaan anda, tidak mustahil untuk anda turut berada dalam kelompok jutawan
yang disegani pada satu hari nanti. Semoga berjaya!!