Kreatif dan kritis!! Dua elemen penting yang
juga merupakan antara tuntutan utama dalam misi anda untuk memajukan
perniagaan. Dalam erti kata lain, anda perlu berfikir dan berusaha dengan lebih
keras bagi menjadikan perniagaan anda sesuatu yang lain daripada yang lain demi
menarik minat lebih ramai pelanggan. Perniagaan yang mempunyai kreativiti
tersendiri kebiasaannya akan lebih cepat dikenali oleh para pengguna tambahan
pula sekiranya produk atau servis yang disediakan menepati kehendak pengguna.
Akan tetapi, faktor kreativiti tersebut mestilah seiring dengan strategi
perniagaan anda agar faktor itu benar-benar dapat memberikan impak kepada
perniagaan yang diusahakan. Contoh yang mudah, pada hari ini kita boleh melihat
betapa ramai para peniaga di pasar-pasar malam yang menjual air tebu. Mungkin
di satu kawasan pasar malam yang sama terdapat dua atau tiga gerai yang menjual
air tebu. Maka, persaingan menjadi lebih sengit. Oleh itu, penjual-penjual air
tebu tersebut sewajarnya berfikir dengan lebih mendalam tentang cara yang boleh
digunakan untuk menarik lebih ramai pelanggan ke gerai masing-masing.
Bagaimanakah caranya? Terpulang kepada masing-masing untuk memikirkannya.
Banyak aspek-aspek kreativiti yang boleh digunakan dalam perniagaan tanpa
mengambil kira jenis perniagaan anda juga sama ada perniagaan anda kecil
ataupun besar. Jika kena dengan caranya, kreativiti tersebut mampu menaikkan jenama
perusahaan anda!!
Melihat
Kelemahan dan Kekurangan Sebagai Satu Peluang Keemasan!!
Setiap perniagaan kebiasaannya mempunyai kelemahan atau kekurangan
yang tersendiri. Kekurangan tersebut tidak seharusnya dipandang sebagai satu
kelemahan oleh para peniaga. Jadi, bagaimana caranya untuk melihat kelompangan
yang ada dalam sesebuah perniagaan sebagai suatu kelebihan? Mudah sahaja bak
kata seorang tokoh perniagaan internet yang terkemuka iaitu Irfan Khairi
menyatakan bahawa usahawan atau mana-mana para peniaga mestilah sentiasa
berfikir di luar kotak pemikiran. Tujuannya adalah untuk memastikan adanya
percambahan idea dalam kalangan para peniaga mahupun usahawan-usahawan bagi
menguruskan sesebuah perniagaan sekaligus dapat menjadikan perniagaan tersebut lebih
menarik. Untuk itu, bagi para peniaga yang benar-benar berfikiran kreatif dan
kritis, mereka akan cenderung untuk melihat segala kekurangan atau kelemahan
dalam perniagaan sebagai satu peluang keemasan untuk mereka meningkatkan mutu
serta kualiti perniagaan.
Contoh yang sangat mudah, pernahkah anda
mendengar tentang Kentucky Fried Chicken atau lebih popular sebagai KFC? Agak
pelik sekiranya anda mengatakan tidak!! KFC adalah antara restoran makanan
segera yang mempunyai elemen-elemen kreativiti dalam kelas tersendiri.
Menyedari bahawa hidangan utama mereka adalah ayam goreng, pihak KFC mengambil
inisiatif dengan memperkenalkan pelbagai menu dari semasa ke semasa dan setiap
menu tersebut mempunyai daya tarikan yang kuat terhadap pembeli. Ini kerana,
pihak KFC sendiri mungkin dapat merasakan bahawa masyarakat akan berasa bosan
dengan menu yang sama tanpa sebarang perubahan. Bagi mengelakkan kelemahan
tersebut berlaku, strategi berkesan telah diatur dengan baik oleh pihak KFC.
KFC Tom Yum, ‘Famous Bowl’, ‘KFC Egg Tart’, ‘Toasted Pocketful’, ‘Krushers’,
dan banyak lagi menu-menu baru yang telah diperkenalkan oleh KFC. Konsep
perniagaannya tidak pernah berubah iaitu menyediakan makanan segera kepada
masyarakat awam. Akan tetapi, faktor kreativiti pihak pengurusan KFC Malaysia
sememangnya wajar dijadikan contoh oleh para peniaga dan usahawan yang lain
dengan mereka sentiasa berfikiran kehadapan untuk menyediakan pelbagai
resepi-resepi terkini bagi masyarakat berbilang kaum di negara kita.
Selain itu, sebagai seorang usahawan atau
peniaga, keberanian untuk mengambil risiko sangat penting. Tetapi janganlah
kita membuta tuli mengambil sesuatu risiko tanpa mengkaji faktor dan kesannya
terlebih dahulu. Dalam isu melihat kekurangan sebagai satu peluang keemasan,
keberanian memainkan peranan yang sangat besar. Kadang-kadang anda mungkin
sudah berjaya menemui kekurangan yang ada dan sudah memikirkan cara untuk
mengatasinya, tetapi dengan kemampuan yang ada adakah anda begitu berani untuk
melaksanakannya? Pastikan langkah penyelesaian yang ingin anda ambil telah anda
kaji dengan sedalam-dalamnya. Hidup dalam dunia perniagaan ibarat untung sabut
timbul, untung batu tenggelam. Ada kesan dan risiko yang menanti. Seandainya
anda benar-benar yakin dan berusaha dengan segigih-gigihnya, InsyaALLAH anda
akan berjaya.
Pelik
Tetapi Menarik
Tidakkah anda teringin untuk mempunyai suatu perusahaan yang pelik
tetapi menarik? Biar pelik asal menarik jangan pelik dan memang pelik!!
Objektifnya tetap sama, untuk menarik seramai mungkin pelanggan atau pengguna
terhadap servis yang anda sediakan. Tidak kiralah perniagaan apa sekalipun,
semuanya boleh menjadi lebih menarik sekiranya anda ada cara untuk
melakukannya. Untuk mendapatkan sesuatu idea yang pelik tetapi menarik, anda
sebagai seorang usahawan perlu mencabar pemikiran anda bagi mengumpulkan
idea-idea yang terbaik dan sesuai dengan perniagaan yang anda usahakan. Tidak
dinafikan, kadang-kadang apabila kita mencuba sesuatu yang baru boleh jadi kita
mendapat kritikan dan boleh jadi juga kita mendapat sokongan. Oleh itu, jika
anda benar-benar yakin dengan apa yang anda ingin lakukan, ketepikan segala
kritikan dan anggaplah kritikan-kritikan tersebut sebagai satu inspirasi untuk
anda terus memajukan perniagaan anda.
Kebiasaannya, pada bulan Ramadhan, begitu
ramai para peniaga yang mengambil peluang untuk berniaga di bazar-bazar
Ramadhan. Pelbagai aneka juadah dijual dan para peniaga berlumba-lumba sesama
sendiri untuk menghabiskan jualan produk makanan dan minuman masing-masing.
Persaingan juga menjadi semakin sengit. Disinilah faktor pelik tetapi menarik
boleh diguna pakai untuk memikat para pelanggan. Contohnya, gerai yang menjual
minuman. Terdapat gerai yang menjual sehingga dua puluh lebih jenis minuman.
Air tembikai laici, bandung cincau, epal susu, barli susu, koktail, katira,
cendol dan bermacam-macam lagi jenis minuman yang dijual. Sudah tentu, gerai
minuman tersebut akan menjadi tumpuan para pembeli kerana keunikannya selain
terdapat banyak pilihan minuman. Inilah yang dikatakan pelik tetapi menarik!!
Dalam membincangkan isu pelik tetapi menarik,
satu kekuatan yang perlu anda pupuk dalam diri anda adalah tahan kepada segala
kritikan. Mungkin idea yang ingin anda laksanakan akan dianggap idea gila oleh
sesetengah pihak, tetapi belum cuba belum tahu. Lakukan dan buktikan kepada
semua bahawa idea anda itu boleh membuahkan hasil yang mengagumkan. Jangan
sesekali jatuh kerana kritikan dan jangan sesekali megah kerana pujian. Dunia
perniagaan tidak pernah menjanjikan sebarang kejayaan atau kegagalan
berpanjangan, bergantung kepada sejauh mana usaha dan pengorbanan yang anda
lakukan. Teruskan usaha anda dan beringatlah bahawa kesemua rezeki itu hanya
datang daripada ALLAH SWT.
Sentiasa
Berfikir Ke Hadapan
Dalam mana-mana ceramah motivasi atau seminar keusahawanan,
sentiasa berfikiran ke hadapan merupakan antara aspek yang sering ditekankan
oleh para penceramah. Bukan tidak boleh memandang ke belakang, tetapi
jadikanlah segala pengalaman lampau sebagai satu pengajaran dan semangat untuk
kita terus maju. Berbagai-bagai risiko yang ada dalam perniagaan. Untung dan
rugi juga sudah menjadi mainan bagi para peniaga. Sebagai langkah berjaga-jaga,
setiap para usahawan ataupun para peniaga kecil mahupun besar perlulah sentiasa
berfikiran kehadapan. Anda perlu untuk memikirkan tentang kesan-kesan yang
mungkin akan timbul, risiko yang bakal dihadapi, serta jalan penyelesaian
sekiranya berlaku sebarang masalah yang dijangka atau tidak dijangka. Jangan
terlalu gopoh untuk berangan-angan dalam perniagaan. Para peniaga atau usahawan
yang sentiasa berfikir ke hadapan sememangnya mempunyai banyak idea dan
perancangan yang hebat. Inilah antara contoh kreativiti dalam perniagaan.
Dengan berbekalkan idea-idea yang hebat, mereka begitu kreatif menjalankan
perniagaan sekaligus sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang
kemungkinan. Bolehkah anda melakukannya?
Seperkara lagi, usahawan yang berfikiran ke
hadapan tidak akan menghadkan fikiran mereka untuk mencari satu sahaja jalan
penyelesaian bagi masalah yang dihadapi. Fikirkanlah lebih daripada satu jalan
penyelesaian agar anda mempunyai banyak pilihan idea untuk menamatkan segala
permasalahan yang membelenggu perniagaan anda. Apabila anda sudah mempunyai
beberapa pilihan penyelesaian, pilihlah jalan yang terbaik yang mampu untuk
anda lakukan.
Sekiranya anda seorang peniaga kuih-muih di
pasar malam dan anda sering mendapati kuih-muih anda tidak dapat dijual habis
maka apa yang anda akan lakukan? Sama ada anda membuang lebihan kuih-muih
tersebut atau mengurangkan kuantiti jualan untuk masa akan datang atau anda
akan mengurangkan harganya atau sebarang cara yang lain? Hakikatnya
terpulanglah kepada anda tetapi pastikan keputusan yang diambil boleh
mendatangkan faedah serta keuntungan kepada perniagaan yang diusahakan.
Promosi
& Pengiklanan Perniagaan Yang Menarik
Strategi utama untuk melariskan perniagaan adalah melalui promosi
dan pengiklanan. Pada hari ini, kita dapat lihat betapa banyak papan-papan
iklan, banting, poster, kertas-kertas iklan dan bermacam lagi cara yang digunakan
oleh para peniaga untuk menghebahkan perniagaan masing-masing. Tidak dinafikan,
promosi dan pengiklanan sememangnya salah satu cara berkesan untuk menarik para
pelanggan. Akan tetapi, penghasilan iklan yang lebih kreatif serta menarik
sudah tentu mampu memberikan impak yang lebih besar berbanding iklan-iklan
biasa yang lain. Cumanya, apabila anda telah menghasilkan suatu iklan yang
kreatif dan luar biasa, anda juga perlu memastikan kualiti produk atau
perkhidmatan yang anda sediakan setara seperti mana yang telah anda iklankan.
Jangan sesekali anda cuba untuk menipu dalam pengiklanan kerana boleh membawa
kesan buruk serta menggugat keyakinan para pelanggan terhadap perniagaan anda.
Dalam era IT dan globalisasi ini, bermacam
kaedah yang boleh digunakan bagi tujuan pengiklanan. ‘Facebook’, ‘Twitter’,
‘Email’, laman sesawang pengiklanan seperti ‘mudah.my’, ‘e-bay’ dan banyak lagi
laman pengiklanan di internet yang boleh anda gunakan untuk mempromosikan
bisnes yang anda jalankan bukan hanya di dalam negara malah di seantero dunia.
Jika anda benar-benar kreatif dalam mengiklankan perniagaan anda, maka tidak
mustahil perniagaan anda mampu berkembang maju dalam sekelip mata.
Zaman sekarang juga telah memperlihatkan
begitu ramai individu yang gemar menjalankan bisnes hanya melalui internet
sahaja. Misalnya, seseorang individu itu mampu untuk menjual pakaian hanya
daripada rumah dan segala bentuk pengiklanan dan promosi dilakukan melalui
internet. Penghantaran barangan pula dilakukan melalui pos atau kurier. Apa yang
menariknya, keuntungan yang diraih mampu mencecah empat angka!! Ini tidak
mustahil sekiranya anda bijak mengiklankan perniagaan anda.
Kesimpulannya, kreativiti dalam perniagaan
memainkan peranan yang sangat penting terhadap perniagaan itu sendiri. Banyak
lagi cara dan kaedah untuk menjadikan sesuatu perniagaan lebih kreatif dan
menarik. Setiap aspek dalam perniagaan perlu diberi penekanan bermula daripada
aspek promosi sehingga ke jualan agar perniagaan tersebut benar-benar
membuahkan keuntungan. Pakar perniagaan internet, Irfan Khairi dalam tip
perniagaannya ada menyatakan bahawa seseorang ahli perniagaan yang ingin
menjana idea yang kreatif perlulah sentiasa bergembira dan berseronok kerana
idea yang hebat seringkali datang apabila kita berada dalam keadaan gembira dan
seronok. Semoga semua para usahawan dan para peniaga yang membaca artikel ini
dapat mengambil input-input yang berguna dan mengaplikasikannya dalam
perniagaan masing-masing. Ingatlah, rezeki itu datang daripada ALLAH SWT dan
kita perlu berusaha untuk mendapatkannya.
No comments:
Post a Comment