Masyarakat Cina sememangnya begitu terkenal dengan kehebatan
mereka dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Bukan hanya masyarakat Cina di
negara kita, malah boleh dikatakan hampir di seluruh dunia kita dapat melihat masyarakat
Cina memonopoli bidang perniagaan. Produk-produk yang terdapat di pasaran hari
ini juga kebanyakkannya datang dari negara Tembok Besar itu termasuklah
barang-barang keperluan rumah, tekstil dan pakaian, serta peralatan-peralatan
IT terkini. Mereka juga mampu untuk menjadikan sesuatu perniagaan yang bermula
hanya dengan kecil-kecilan menjadi lebih maju dan luas. Pendek kata,
keistimewaan kaum Cina ini adalah daripada aspek strategi mereka menjalankan
perniagaan tersebut. Hal ini turut menjadikan kaum Cina dipandang begitu tinggi
kerana mereka mempunyai kemahiran yang tersendiri dalam menjalankan sesuatu
perniagaan yang mereka ceburi.
Apabila dikaji secara mendalam, apa yang dapat dirumuskan adalah
kemahiran dalam perniagaan atau bisnes bukanlah suatu keistimewaan yang hanya
boleh didapati bagi sesuatu kaum. Tetapi kemahiran tersebut sememangnya boleh
dipelajari.
Pegangan Masyarakat Cina dalam Perniagaan
Masyarakat Cina mempunyai pegangan yang tersendiri dalam usaha
memajukan perniagaan mereka. Pegangan mereka ini begitu kuat sehingga mereka
akan cuba melaksanakan segala apa yang termampu untuk mendapatkan hasil yang
lebih baik dalam bisnes yang dijalankan. Berikut merupakan tujuh pegangan
masyarakat Cina dalam aspek bisnes atau perniagaan :
1. Rajin, jika tidak berniaga akan menjadi malas
2. Jimat, jika tidak akan membazir modal
3. Senyuman dengan pelanggan, jika tidak pelanggan akan lari
4. Kejar masa, jika tidak peluang akan diambil orang
5. Harga berpatutan, sekiranya tidak mungkin akan menimbulkan
pergaduhan
6. Membenarkan hutang hanya dengan orang yang dikenali, jika tidak
modal akan hilang
7. Semak akaun setiap hari untuk pastikan modal bagi hari
esokKetujuh-tujuh ini juga merupakan peribahasa masyarakat Cina tentang
perniagaan dan bisnes. Sekiranya kita meneliti ketujuh-tujuh aspek ini, dapat
disimpulkan bahawa sikap menjadi kunci utama kejayaan mereka dalam perniagaan.
Sikap yang baik, tekun dan gigih merupakan asas kepada rahsia kejayaan mereka
selama ini.
Perniagaan Adalah Satu Seni
Apa yang lebih menarik lagi, masyarakat Cina turut menganggap
bisnes merupakan satu seni. Memetik satu falsafah masyarakat Cina yang
berbunyi, ‘dunia perniagaan penuh dengan sepak terajangnya. Oleh itu peniaga
perlu mempersiapkan dirinya dengan seni kungfu perniagaan bagi menghadapi
sebarang bentuk serangan dan kemungkinan mendatang.’ Falsafah ini begitu
popular dalam kalangan mereka. Mereka turut menyamakan perniagaan atau bisnes
dengan seni kungfu yang digunakan untuk mempertahankan diri. Mengapa? Dunia bisnes
memerlukan kita untuk bersedia bagi menghadapi segala rintangan dan masalah
yang tidak dijangka. Begitu juga dengan seni kungfu. Mempelajari seni kungfu
adalah bertujuan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi sebarang bentuk
ancaman yang mendatang. Maka, daripada sinilah timbulnya istilah seni bisnes
atau seni perniagaan bagi masyarakat Cina. Terdapat beberapa tip penting yang
membahaskan tentang seni perniagaan masyarakat Cina, anataranya ialah :
§
Seni berniaga adalah cukup
halus dan tidak memadai mempelajarimya secara teori sahaja. Berniaga perlu
praktikal dan menuntut seseorang supaya selalu bersikap fleksibel.
§
Peniaga perlu bersikap ringan
tulang, ramah serta menjadikan pelanggan sebagai saudara rapat atau sebagai
seorang sahabat.
§
Seseorang peniaga perlu
mempunyai daya ketahanan yang tinggi, mental yang kuat dan jiwa yang teguh
dengan pendirian.
Untuk menjadi seseorang yang berjaya dalam perniagaan dan bisnes,
mereka selalunya tidak kedekut untuk mengeluarkan perbelanjaan asalkan dapat
menarik dan meyakinkan hati pelanggan. Bagi mereka, pelanggan yang akan
membantu mereka untuk mengembangkan lagi perniagaan yang sedang diusahakan.
Antara petua yang mereka selalu amalkan dalam perniagaan adalah ‘menjadi
peniaga yang mudah dipercayai, mudah berurusan dan tidak cerewet.’ Disebabkan
petua ini juga, mereka begitu gigih dan bersungguh-sungguh untuk menarik hati
pelanggan dan menjaga pelanggan yang sedia ada dengan sebaik-baiknya. Bagi
mereka juga, dalam perniagaan perlu ada nilai-nilai kemanusiaan, elemen kebajikan
dan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan peniaga adalah diibaratkan
seperti hamba yang berkhidmat kepada tuannya.
Selain itu, masyarakat Cina turut menekankan beberapa ciri-ciri
seorang peniaga yang perlu ada dalam diri mereka. Bisnes atau perniagaan tidak
akan menjadi satu seni sekiranya ciri-ciri ini tidak ada dalam diri mereka.
Antara ciri-ciri tersebut adalah :
§
Sabar
§
Tidak mudah putus asa
§
Pandai merebut peluang
§
Mempunyai perhubungan awam yang
baik
§
Berpandangan jauh
§
Berpegang pada janji
§
Berupaya meyakinkan pelanggan
semasa menguruskan perniagaan
§
Memiliki daya tahan dan
semangat juang yang tinggi
§
Tidak suka menunggu kerana
peluang tidak pernah menunggu mereka
Ciri-ciri ini perlu ada dalam diri setiap peniaga yang ingin
memastikan perniagaan mereka dapat berkembang maju. Apa yang disenaraikan ini
juga adalah merupakan satu jalan yang boleh diguna pakai dalam strategi
seseorang peniaga untuk menarik lebih banyak kepercayaan dan keyakinan para
pelanggan terhadap bisnes yang dijalankan. Apabila pelanggan semakin ramai,
maka sudah tentu untung yang lebih besar juga turut menanti.
Konsep Berniaga yang Diamalkan oleh Kaum Cina
Kaum Cina mensasarkan matlamat dan tujuan tertentu dalam
perniagaan mereka. Bagi memastikan matlamat mereka tercapai, mereka akan saling
bantu-mambantu antara satu sama lain khususnya sesama masyarakat Cina. Konsep
perniagaan orang Cina adalah berasaskan prinsip simbiosis iaitu mereka sebagai
peniaga saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Contoh, sekiranya ada
peniaga Cina yang menjual barangan runcit, maka peniaga Cina yang lain akan
menjual barangan basah seperti ikan, daging dan ayam serta barangan keperluan
yang lain. Mereka turut bijak mengambil peluang dengan membuka restoran di
kawasan tersebut dan akan mendapatkan barang-barang keperluan untuk memasak
daripada kedai-kedai yang telah sedia ada di sekitar kawasan tersebut. Secara
tidak langsung, peluang yang mereka ambil ini akan menjadikan perniagaan di
kawasan tersebut berkembang kerana adanya sokongan yang kuat dalam kalangan
peniaga di kawasan tersebut. Apabila hal ini terjadi, perniagaan masing-masing
akan lebih mudah berkembang dan tidak mudah untuk gulung tikar.
Terdapat satu fakta menarik tentang konsep perniagaan orang Cina
yang perlu kita ketahui. Suku Hailam merupakan suku terakhir yang masuk ke
Tanah Melayu satu ketika dahulu. Apabila mereka sampai, mereka melihat banyak
bidang perniagaan yang sudah diterokai oleh suku-suku Cina yang datang lebih
awal. Maka mereka menceburkan diri dengan mengambil peluang membuka kedai kopi
yang mana ketika itu belum diterokai secara meluas oleh suku-suku Cina yang
lain. Mereka turut mempelbagaikan menu mereka dengan memperkenalkan roti bakar
dan nasi ayam Hainan. Akhirnya, perniagaan ini kekal sehingga ke hari ini dan
semakin meluas dari hari ke hari.
Dalam satu kajian terhadap sebuah buku yang bertajuk Rahsia Bisnes
Orang Cina hasil karya Ann Wan Seng ada menyatakan bahawa masyarakat Cina tidak
memandang rendah kepada mana-mana orang yang gagal dalam perniagaan dan mereka
memandang tinggi kepada sesiapa yang hendak berusaha dan selalu memberi galakan
serta peluang kepada sesiapa yang mahu melibatkan diri dalam perniagaan. Ini
membuktikan, bahawa mereka langsung tidak mengenal erti putus asa dan erti
kegagalan dalam bisnes yang dijalankan sebaliknya hanya memandang kehadapan
tanpa menoleh lagi kebelakang. Maka tidak hairanlah pada hari ini kita dapat
melihat lapangan perniagaan di negara kita majoriti besar dikuasai oleh
masyarakat Cina.
Tokoh Usahawan Cina di Malaysia
1.0 Robert Kuok
Di negara kita, terdapat ramai tokoh-tokoh bisnes yang majoritinya
terdiri daripada masyarakat Cina. Jumlah mereka mungkin boleh mencecah sehingga
ratusan atau ribuan orang. Antara tokoh bisnes daripada kaum Cina yang terkenal
di Malaysia ialah Robert Kuok merupakan seorang tokoh peniaga daripada
masyarakat Cina yang lahir di Johor Bahru pada 6 Oktober 1923 dan memiliki anak
seramai 8 orang. Beliau juga merupakan antara jutawan yang memiliki aset
berbilion ringgit hasil daripada usaha gigihnya membangunkan perusahaan gula di
Malaysia. Beliau juga turut diberi gelaran ‘Raja Gula Asia’. Beliau sangat
bijak mengambil peluang kerana mampu menjana keuntungan yang besar hanya dengan
menghasilkan pengeluaran gula untuk negara.
Selain itu, beliau turut menjawat jawatan sebagai Pengerusi
Shangri-La Hotel dan Resort Chain. Apa yang dapat disimpulkan, beliau tidak
mengecapi kejayaan seperti yang beliau miliki pada hari ini dengan mudah.
Banyak pengorbanan dan modal yang perlu dikeluarkan untuk beliau membangunkan
perusahaan gula sehingga boleh bertahan sampai ke hari ini. Nama beliau juga
turut tersenarai antara individu terkaya di rantau Asia.
2.0 Mendiang Lim Goh Tong
Mendiang Lim Goh Tong yang merupakan seorang usahawan Tionghua
terkaya di Malaysia dan Asia pada tahun 2005 sehingga beliau meniggal dunia.
Beliau memiliki aset berjumlah sehingga 421.60 bilion ringgit Malaysia. Beliau
juga merupakan Pengasas dan Prseiden seumur hidup kumpulan Genting. Selain
memiliki hotel, beliau turut mempunyai kasino yang dikunjungi 14 juta orang
dalam setahun serta memiliki aset-aset mewah yang lain. Dalam satu catatan
sejarah menyatakan bahawa beliau datang ke Malaysia dari Fujian China ketika
berumur 19 tahun dan hanya membawa wang berjumlah RM175 sebelum berkerja dan
membina syarikat sendiri iaitu Kien Huat.
Usaha gigih beliau dan idea yang kreatif telah membuatkan beliau
berhasrat untuk mendirikan Genting sebagai sebuah tempat perlancongan di
Malaysia. Hasilnya, Genting Highlands masih menjadi tumpuan pelancong dari
serata dunia walaupun kini beliau telah pergi selama-lamanya.
Kedua-dua tokoh ini merupakan antara contoh usahawan masyarakat
Cina yang berjaya membina empayar perniagaan yang begitu berpengaruh selain
membuktikan pada semua bahawa setiap kejayaan yang ingin dikecapi perlu melalui
usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa. Sememangnya peniaga-peniaga
atau usahawan-usahawan Cina mempunyai taktik dan startegi tersendiri. Namun
semua itu dilihat sebagai satu seni dalam perniagaan. Etika masyarakat Cina
juga turut membenarkan penggunaan startegi masing-masing asalkan tidak
mendatangkan kemudaratan kepada peniaga dan pelanggan. Sebaik-baiknya biarlah
strategi tersebut mendatangkan keuntungan kepada kedua-dua belah pihak. Pendek
kata, peniaga-peniaga Cina mempunyai daya kreativiti yang tinggi selain bijak
mencuri peluang yang ada dihadapan mata. Peluang akan digunakan dengan
sebaik-baiknya bagi memastikan keuntungan yang besar boleh dicapai dan kejayaan
hanya akan diperoleh sekiranya mereka mempunyai sikap yang rajin, tekun dan
tidak mudah mengalah sekiranya menghadapi kegagalan. Maka, wajar bagi msyarakat
lain di negara ini untuk mencontohi sikap kaum Cina dalam usaha mereka
menjalankan perniagaan.
No comments:
Post a Comment