Friday 31 October 2014

Proses pembangunan perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary...




MULA BERNIAGA



Pada pertengahan tahun 1970-an, perniagaan ternakan bapanya berdepan masalah besar ekoran tercetusnya wabak kaki tangan dan mulut. Wabak berkenaan merebak ke seluruh selatan Thailand, Kedah dan Perlis. Akibatnya, hampir kesemua binatang ternakannya mati begitu sahaja. Kejadian berkenaan sebenarnya mempunyai hikmah yang tersendiri. Sejak itu, Syed Mokhtar mengambil alih perniagaan bapanya serta memutuskan untuk tidak lagi berkecimpung dalam bidang penternakan. Sebaliknya membuat keputusan untuk berniaga daging. 


Sebagi permulaan pada usia 19 tahun, Syed Mokhtar akan pergi ke pasar-pasar di sekitar Alor Star dan membeli daging yang tidak terjual daripada peniaga di sana. Daging berkenaan kemudiannya dijual kembali kepada para peniaga bumiputera di kawasan sekitar. Meskipun daging berkenaan adalah merupakan daging yang tidak terjual namun Syed Mokhtar telah membungkusnya kembali dengan lebih baik malah diletakkan bersama ais bagi mengekalkan kesegaran daging tersebut. Justeru, menggunakan pengalamannya sebelum itu bersama produk yang berkualiti, perniagaannya itu mendapat sambutan yang menggalakkan. Kejayaannya itu membuatkan semangatnya untuk mengembangkan perniagaannya semakin berkobar-kobar. 







Selepas itu, Syed Mokhtar pula beralih kepada perniagaan pengangkutan. Selepas berjaya mendapatkan permit bagi empat buah lori kelas A pada tahun 1972, Syed Mokhtar mendapatkan pinjaman sebanyak RM110,000 daripada Majlis Amanah Rakyat(MARA) untuk membeli dua buah lori mercedes benz. Pada awalnya beliau bercadang untuk mendapatkan empat buah lori, namun tidak kesampaian akibat masalah teknikal menyebabkan beliau masih mempunyai dua baki permit. Seorang peniaga berbangsa cina kemudian menawarkannya sejumlah wang untuk membeli baki dua buah permit berkenaan, bagaimanapun Syed Mokhtar tidak bersetuju dengan tawaran berkenaan lalu memutuskan untuk memulangkannya kepada MARA. 



Beliau kemudiannya membuka perniagaan pengangkutan yang dinamakan Syarikat Pengangkutan Sentosa dan melantik seorang kerani berbangsa cina sebagai pengurusnya. Menariknya, syarikat tersebut masih wujud sehingga kini. Daripada sebuah syarikat kecil yang menawarkan perkhidmatan mengangkut beras , ia kini memiliki lebih 40 buah lori untuk pelbagai tujuan. 





PENUBUHAN SYARIKAT BERAS 










Apabila Syarikat Pengangkutan Sentosa semakin berkembang maju, Syed Mokhtar kemudiannya membeli sebuah rumah kedai di kawasan yang sama di mana beliau pernah membantu ibunya menjual sayur ( Pasar Tok Wan Jah). Tidak lama kemudian pada tahun 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah selepas memohon lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara yang kini dikenali sebagai Bernas.



Berdasarkan pengalamannya dalam bidang perniagaan pengedaran beras, beliau berjaya mendapatkan kontrak bagi membekalkan beras ke pihak FELDA, MARA Pernas Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd, iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ)





PERNIAGAAN BERKEMBANG




Selepas menubuhkan Syarikat Shah, beliau pula menubuhkan Syarikat Bukhary yang juga terlibat dalam perniagaan beras dan gula. Seperti Syarikat Pengangkutan Sentosa, Bukhary masih wujud dan masih berkembang hingga kini dengan pendapatan tahunan sekitar RM250 juta. Syarikat berkenaan kemudiannya dikembangkan kepada Bukhary (KL) Sdn. Bhd pada tahun 1977. Syarikat ini kemudiannya berjaya mendapat banyak kontrak kerajaan yang ditawarkan kepada peniaga bumiputera ketika itu dan menjalankan operasinya di rumah kedai empat tingkat di Jalan Pahang. 


Oleh kerana perniagaan itu semakin berkembang maju, beliau kemudiannya mengubahsuai bahagian bawah pejabatnya kepada ruang pembungkusan bagi coklat, tepung dan teh kepada kerajaan. Beliau kemudian menubuhkan pula Syarikat Susu Mas Sdn. Bhd (Susu Mas) pada tahun 1979 untuk melicinkan urusan pembekalan bahan kepada kerajaan. Seperti Bukhary, Susu Mas juga merupakan sebuah syarikat usahasama, kali ini dengan New Zealand Milk Products. Beliau memegang 51 peratus saham di dalamnya. Produk Susu Mas dipasarkan di bawah jenama Fernleaf. Bagaimanapun, ekoran kemelesetan ekonomi yang melanda negara pada hujung tahun 80-an beliau mengambil keputusan menjual kepentingannya di dalam syarikat berkenaan.




AMTEK, CROCODILE, DAN LOUIS












Sekitar tahun 1980-an dan 1990-an menyaksikan beliau mula menceburkan diri dalam perniagaan pakaian dan pembuatan pula. Bintangnya terus bersinar cemerlang apabila berjaya mendapat kontrak membuat pakaian seragam tentera untuk Kementerian Pertahanan. Menerusi kontrak berkenaan, syarikatnya dikehendaki membekalkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan lebih 100,000 pasang kasut serta 330,000 pasang pakaian seragam. Kejayaan itu membuatkan beliau mengambil keputusan untuk menubuhkan dua syarikat pakaian iaitu Amtek Holdings (Amtek) yang mengeluarkan kasut manakala Oriental Garments Uniform Division (Oriental) bagi mengeluarkan pakaian. Oriental merupakan satu lagi syarikat kerjasama miliknya. Kali ini dengan Oriental Garments di Pulau Pinang. 


Meskipun Amtek kemudiannya berjaya disenaraikan di bursa saham Kuala Lumpur 1998, beliau masih tidak berpuas hati malah mahu mengembangkan lagi empayar perniagaannya. Syed Mokhtar seterusnya membeli jenama Sparkmanshop dan hak untuk memasar dan mengeluarkan barangan Crocodile. Crocodile kini mempunyai pelbagai variasi pakaian baik untuk wanita mahupun lelaki seperti baju kemeja, seluar, tali pinggang dan kasut. 


Terbaru anak syarikat Amtek, Amtek Shoes mengeluarkan kasut untuk kegunaan ATM dan pakaian jenama Lee Cooper serta Louis. Sebenarnya empayar perniagaan Syed Mokhtar terlalu luas bukan sekadar daging, beras, gula, dan pakaian sahaja malah turut merangkumi beberapa industri berat di negara ini. Beliau menubuhkan Bukhary Shipping untuk urusan pengangkutan barangan terutamanya makanan dari Sabah dan Sarawak ke Thailand dan sebaliknya. Bermodalkan AS1 juta, beliau membeli sebuah kapal terpakai Jerman yang dinamakan semula sebagai Angsa Mas. 


Ketika menguruskan Bukhary Shipping, Syed Mokhtar mula berjinak-jinak dengan bidang hartanah apabila membeli beberapa bidang tanah di Alor Setar dan membangunkan beberapa projek pembinaan di sana. Syed Mokhtar turut mempunyai 22.7 peratus kepentingan dalam Malakoff Berhad, Syarikat penjana kuasa tenaga bebas (IPP) serta 20 peratus dalam IJM Corporation yang menjalankan perniagaan pembangunan hartanah, perlombongan dan pertanian.


Pada tahun 2000, IJM memenangi anugerah Kontraktor Antarabangsa Terbaik Malaysia dan pada tahun berikutnya Syarikat Pembinaan Terbaik Malaysia atas kecemerlangannya. Selain itu, beliau turut memiliki 18 peratus pegangan dalam Bernas yang terlibat dalam perdagangan beras serta 32 peratus pegangan dalam Pernas International Holdings Berhad, iaitu badan gabungan perniagaan yang terlibat dalam banyak sektor perniagaan. Beliau juga memiliki 18.7 peratus pegangan dalam Fiamma Holdings, syarikat pemasaran dan pengedaran barangan elektronik di negara ini. Selain menjalankan perniagaan dan kepentingan-kepentingan di atas, Syed Mokhtar turut terlibat dalam beberapa projek penswastaan seperti Johor Port Sdn. Bhd dan Johor Tenggara Oil Palm Sdn. Bhd. Beliau terlibat dengan Johor Port melalui tender pada harga RM330 juta. Johor Tenggara Oil Palm Sdn. Bhd pula dibelinya pada harga RM135 juta. Selepas melibatkan diri dengan Johor Port, beliau membangunkan dan menjayakan Pelabuhan Tanjung Pelepas. Pelabuhan tersebut menjadi begitu maju hingga berjaya menarik begitu ramai syarikat antarabangsa berurusan di sana. Kecekapannya juga menyebabkan dua gergasi perkapalan dunia, Maersk Sealand dari Denmark dan Evergreen Marine dari Taiwan berpindah dari Singapura ke Tanjung Pelepas.



SUMBANGAN TERHADAP PENDIDIKAN GOLONGAN MUSLIM MALAYSIA








Meskipun mengecap kejayaan sebagai tokoh konglomerat bumiputera nombor satu negara, beliau tidak melupakan kewajipannya untuk membantu saudara seagamanya. Justeru, Yayasan al-Bukhary ditubuhkan pada Mac 1996 untuk membantu golongan miskin, khususnya dalam bidang pendidikan.
Hingga kini, Yayasan al-Bukhary telah membelanjakan lebih RM300 juta bagi aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan. Yayasan ini bukan sahaja menghulurkan bantuan kepada pendududk negara ini, malah juga negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Antara projek besar yang dijalankan adalah pembinaan Kompleks al-Bukhary bernilai RM400 juta di Kedah. Kompleks itu memainkan peranan sebagai pusat yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti masjid, pusat perubatan, pusat komuniti, rumah anak yatim, akademi khas bagi warga tua dan pusat pengajian tinggi.
Yayasan ini juga membangunkan Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur yang bernilai RM100 juta. Bangunan empat tingkat itu adalah muzium pertama di rantau Asia Pasifik yang memaparkan hasil seni Islam. Yayasan al-Bukhary juga membina 16 buah masjid di serata negara.
Terbaru ialah projhek pembinaan Masjid Al Bukhary yang terletak di lokasi strategik berhampiran Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Kedudukan masjid yang dibina dengan kos RM12.2 juta itu juga memudahkan umat Islam terutama di sekitar Jalan Hang Tuah, Jalan Pudu dan kawasan Bukit Bintang untuk beribadat.


SUMBANGAN LAIN

Terdahulu pada tahun 2000, Yayasan Al-Bukhary mendermakan sejumlah RM7.75 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies, iaitu pusat pengajian Islam yang terkenal di serata dunia. Bermula semester November 2007 pula, Yayasan Albukhary akan menaja 28 lagi pelajar ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Yayasan al Bukhary juga kini terlibat dalam projek pembinaan Universiti Antarabangsa Albukhary bernilai RM500 juta di Kedah. Ia bakal menampung 3,000 pelajar yang terdiri daripada 70 peratus pelajar asing yang dibiayai sepenuhnya oleh yayasan ini menjelang 2009.
Pada 6 September lalu pula, Yayasan Al-Bukhary menyumbang AS$1 juta kepada Tabung Kemanusiaan Lebanon bagi membantu meringankan penderitaan rakyat negara itu yang menjadi mangsa kekejaman Israel.
Yayasan ini juga sebenarnya menghulurkan bantuannya kepada organisasi bukan Islam.
Sebagai contoh, sebanyak RM1 juta telah disumbangkan oleh yayasan ini bagi Projek Langkawi, usaha yang dipelopori MCA bagi dalam bidang pendidikan khususnya memberi biasiswa kepada para pelajar yang kurang mampu di kawasan luar bandar.
Sesungguhnya, kejayaan yang dikecapi oleh Syed Mokhtar pada hari ini bukan menerusi jalan yang singkat lagi mudah. Dengan usaha yang tekun, percaya kepada kemampuan diri, dan menyakini semuanya adalah anugerah Allah, menjadikannya ikon konglomerat bumiputera yang patut dicontohi.






No comments:

Post a Comment